Bertarung nyawa selamat anak diculik

Bertarung nyawa selamat anak diculik

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Demi kasih, seorang bapa sanggup bertarung nyawa hingga cedera parah demi menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik tiga lelaki dalam kejadian di Jalan Serampang Taman Pelangi pada 12 Disember lalu.

Sebelum kejadian pukul 4.30 petang, lelaki yang mahu dikenali sebagai Lin, 40, meninjau sebuah bengkel untuk perniagaannya yang disertai isteri dan dua anaknya di Jalan Serampang Taman Pelangi di sini.

Cerita Lin, ketika itu dua anaknya sedang bermain di luar sebelum didatangi sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback tanpa nombor pendaftaran dinaiki tiga lelaki. Dua lelaki kemudian keluar lalu menculik anak lelakinya.

“Ketika sedang berada di dalam bengkel bersama isteri, tiba-tiba anak perempuan saya berusia 11 tahun menjerit meminta tolong dan sebaik sahaja keluar saya dapati anak lelaki saya telah hilang.

“Saya kemudian mengejar kereta suspek melalui gambaran yang diberikan oleh anak perempuan saya sebelum merempuh­nya,” katanya seperti dipetik daripada sebuah portal luar negara.

Menurut Lin, dia kemudian keluar untuk membuka pintu kereta suspek tetapi gagal kerana ia berkunci sebelum meme­cahkan cermin tingkap kenderaan itu lalu melihat tiga lelaki berada di dalam bersama anaknya.

Tambahnya, si pemandu kemudian cuba mengundur untuk melarikan diri ketika dia masih memegang pintu kereta menyebabkannnya terjatuh dan terseret di atas jalan yang meng­akibatkannya mengalami beberapa kecederaan pada muka dan tangan.

“Saya masuk semula kereta dan cuba mengejar kenderaan suspek tetapi kehilangannya. Saya kemudian masuk ke satu persimpangan lampu isyarat sebelum menemui kereta itu di­tinggalkan di tepi jalan kira-kira tiga kilometer dari situ.

“Sebaik dihampiri, saya dapati tiga penculik itu telah melarikan diri dengan meninggalkan anak lelaki saya bersendirian dalam keadaan ketakutan,” katanya.

Ujar Lin, selepas memastikan anaknya tidak cedera, dia kemudian membuat laporan di sebuah balai polis dan berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup berdekatan bengkel yang merekodkan kejadian culik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis yang menjalankan siasatan kemudian dapat menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang merupakan suspek utama pada hari sama.

“Suspek merupakan rakan kongsi bapa mangsa culik dan dia telah bersubahat bersama tiga lelaki lain untuk menculik kanak-kanak itu bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000,” katanya.

Bagaimanapun ujar Raub, cubaan pemerasan itu gagal apabila suspek diberkas manakala tiga rakan subahatnya masih diburu.

Katanya, suspek merupakan seorang mekanik dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Bapa mangsa culik merupakan warga China tetapi mendapat taraf penduduk tetap Singapura dan datang ke sini atas urusan perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga lagi suspek supaya menghubungi pihak­nya bagi membantu siasatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN