PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masalah sekolah-sekolah daif diberi keutamaan sebelum memberi fokus kepada pembangunan kecerdasan digital (AI) dan transformasi digital.
Beliau berkata, masalah sekolah-sekolah daif di negara ini perlu diselesaikan bagi memberi peluang kepada anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa. Keutamaan harus diberi kepada pembangunan sekolah bagi meningkatkan mutu pendidikan di Sabah.
“Pada tahun lalu, kita nak AI, perubahan transformasi digital dan peralihan tenaga. Semua yang berbunyi hebat dan memukau tapi sekolah daif masih ada.
“Jadi saya katakan, kita mesti memberi peluang kepada anak-anak pergi sekolah yang agak selesa, jangan sekolah itu dindingnya pecah, bumbung bocor, tandas rosak sebab itu tahun ini, kita dapat baiki lebih 8,300 tandas di sekolah-sekolah. Maknanya hal-hal asas belum dapat diselesaikan,” katanya semasa merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan 2023 hari ini.
Malah, kerajaan juga memberi keutamaan untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan memberi keutamaan kepada pengusaan bahasa Melayu di seluruh negara. Namun, di Sabah dan Sarawak diberi kelonggaran untuk berbahasa Inggeris.
Pada masa sama, beliau juga mahu Kementerian Pendidikan turut memberi tumpuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di semua sekolah di negara ini.
Menurut beliau, selepas selesai masalah asas itu maka, pada tahun depan kerajaan akan fikirkan soal gaji penjawat awam yang tidak dikaji sejak 10 tahun.
“Kita buat keputusan pada tahun depan kita naikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi skim gaji progresif. Kita desak syarikat yang untung ratusan juta dan berbilion ringgit untuk naikkan gaji pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga memberi jaminan kerajaan perpaduan di bawah pimpinannya akan memberi keutamaan untuk menoktahkan kemiskinan. Isu kemiskinan tegar perlu diselesaikan.
“Saya tidak kira orang itu Melayu, Iban, Kadazan, Dayak dan Cina, kalau dia jatuh dalam kategori miskin tegar, kerajaan tetap akan bantu mereka.
“Sekarang sudah sampai Disember, kita mesti selesaikan masalah ini, yang miskin masih ramai. Saya maksudkan miskin tegar yang makan pun susah dan uniform anak ke sekolah kita bantu.
“Ini kita bantu selesaikan kerana muafakat dan kerjasama kementerian dan pegawai di semua peringkat negeri dan daerah,” katanya. –UTUSAN










