PETALING JAYA: “Hargailah usaha kami dan harap janganlah membanding-bandingkan kerana hanya kami sahaja tahu bagaimana rasa sakit itu.”
Demikian luahan penyanyi, Alyah selepas terkait dengan kontroversi apabila juri tetap All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Hetty Koes Endang membandingkan dia sebagai penyanyi asal Kisah Hati dengan peserta, Siti Nordiana.
Dalam perkongsian di Instagram, Alyah juga memohon agar tiada lagi perbandingan atau episod salah menyalahkan antara peminat kedua-dua penyanyi tersebut usai program itu.
Jelasnya, perbandingan dan ‘perbalahan’ maya itu tidak seharusnya berlaku dan hanya akan membawa kesan negatif terhadap hubungan baik kedua-dua penyanyi tersebut.
“Saya rakam lagu Kisah Hati ini berulang kali sebab mahu dapatkan yang terbaik.
“Saya juga pasti, setiap penyanyi pasti akan lakukan yang terbaik untuk nyanyian mereka, tidak kisahlah lagu sendiri atau milik orang lain.
“Saya sudah luahkan, jadi kita tutup kes,” ujarnya.
Sebelum ini, perkongsian ulang siar beberapa Instastory Alyah mengundang persoalan adakah dia berkecil hati komen Hetty sementelah dia ketika itu duduk di belakang juri tersebut.
Hetty yang memberi komen usai persembahan penyanyi, Siri Nordiana mengundang kecaman netizen apabila dia membanding-banding kedua-dua penyanyi tersebut.
Mengakui terkedu sehingga tidak tahu memberi reaksi dan hanya mampu tersebut, Alyah tidak menyangka kehadirannya untuk memberi sokongan kepada Siti Nordiana ‘disambut’ dengan komen sebegitu.
“Saya hadir memang untuk beri sokongan kepada sahabat yang menyanyikan lagu saya. Namun dikejutkan dengan situasi yang agak membuatkan saya terkedu.
“Saya ulang siar semua yang mesej dan ‘tag’ nama sebab sokongan anda itu buat rasa sebak.
“Terima kasih banyak-banyak cuma saya mohon sangat janganlah menjatuhkan sahabat saya dan bergaduh sesama kelab peminat. Saya yakin dia sudah berusaha keras hendak beri yang terbaik begitu juga saya,” tuturnya.-UTUSAN