Kos operasi naik, pesawah mahu beralih ke tanaman sawit elak rugi

Kos operasi naik, pesawah mahu beralih ke tanaman sawit elak rugi

KOS mengerjakan sawah kini semakin meningkat susulan kenaikan diesel akibat krisis Asia Barat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos operasi yang semakin membebankan memaksa sebahagian pesawah beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit sekali gus me­nimbulkan kebimbangan ke­langsungan pengeluaran padi negara.

Pesawah dan pengurus jentera dari Perak, Hafizul Hamdan berkata, peningkatan harga diesel antara faktor utama yang menekan keseluruhan rantaian pengeluaran padi apabila pengusaha jentera terpaksa menaikkan kadar upah.

“Kalau harga tidak dinaikkan, kami pengurus jentera yang akan tanggung kerugian. Dulu satu tong diesel RM43, sekarang mencecah RM110. Boleh kira berapa kali ganda kenaikan dan sememangnya membebankan kami, jadi upah terpaksa dinaikkan.

“Dengan keadaan semasa seperti kenaikan harga minyak, kos operasi, upah serta kemungkinan harga benih padi meningkat sehingga RM80 bagi satu beg, ramai pesawah dijangka tidak akan meneruskan penanaman padi pada musim akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Hafizul, kesan kenaikan itu akhirnya ditanggung pesawah, khususnya petani di kawasan luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan jentera untuk mengusahakan sawah.

“Yang paling terkesan ialah petani. Mereka yang mengupah kami akan menanggung kos lebih tinggi. Akhirnya kedua-dua pihak, pengusaha jentera dan petani mengalami kerugian yang sangat besar,” katanya.

Menurut beliau, pada masa sama, faktor cuaca turut memburukkan keadaan apabila cuaca panas yang berpanjangan boleh menjejaskan kualiti hasil padi.

“Macam cuaca sekarang ini, ada satu benda baik dan satu benda buruk. Benda baiknya, dengan cuaca sekarang, dari segi tanah, tanah menjadi lebih keras dan elok, tidak berlubang-lubang, jadi isu tanah jerlus tidak berlaku.

“Namun, yang buruknya pula apabila cuaca terlalu panas dan tiada hujan langsung, padi akan menjadi ringan. Padi ini makanan utamanya air. Bila terlalu panas dan kering, ia tidak mendapat zat yang mencukupi, menyebabkan padi menjadi ringan.

“Seperti sebelum ini, padi dan pokok nampak cantik, buah pun elok semuanya. Namun untuk kawasan dua ekar apabila ditimbang, hanya dapat sekitar 800 kilogram (kg) sahaja. Kami dah rugi dekat situ,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan bantuan kerajaan yang disifatkan tidak lagi mampu menampung kos semasa.

“Sebelum ini, pesawah dapat bantuan RM600 untuk satu musim dan itu memang tak membantu. Tambahan pula hanya diterima untuk dua atau tiga musim sahaja, selepas itu tiada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN