Bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah pindah wang tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah pindah wang tanpa kebenaran

SEORANG bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini, atas pertuduhan memindahkan wang syarikat tanpa kebenaran berjumlah RM55,439.64, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memindahkan wang syarikat tanpa kebenaran berjumlah RM55,439.64, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Tai Chun Wei, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, Chun Wei yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat GIC Consultancy Sdn. Bhd. telah menggunakan kedudukannya dengan memindahkan wang syarikat terbabit ke dalam akaun bank milik syarikatnya, TCW Smarthome Consultancy Sdn. Bhd..

Perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah untuk mendapatkan manfaat secara langsung kepada dirinya sendiri dan dilakukan tanpa kebenaran mesyuarat syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Februari 2020 di Syarikat GIC Consultancy Sdn. Bhd. di Icon City, Bukit Mertajam, dekat sini.

Chun Wei didakwa mengikut Seksyen 218 (1) (c) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218 (2) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam Eng Yuh Pei.

Mahkamah kemudian memerintahkan Chun Wei dikenakan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 17 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, suasana pekarangan mahkamah kecoh apabila beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga tertuduh mendekati van polis yang membawa tertuduh.

Dua lelaki dan seorang wanita bertindak cuba menutup wajah tertuduh menggunakan sehelai jaket bagi mengelakkan wajah tertuduh dirakam media.

Insiden tolak-menolak yang berlaku antara beberapa individu terbabit turut menyebabkan salah seorang daripada mereka terjatuh.

Walau bagaimanapun, situasi berjaya dikawal oleh pihak polis yang berada di lokasi kejadian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya