KANGAR: Empat lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki alat pecah rumah.
Majistret Nurul Natasha Rizal menjatuhkan hukuman itu ke atas Chen Yufeng, 52, Peng Yongjian, 46, Liu Huazai, 51, dan Wang Jianghua, 45, selepas semua tertuduh mengaku bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, semua individu terbabit didakwa bersama-sama memiliki alat pecah rumah tanpa alasan yang sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Bukit Kaya Indah 6, Taman Bukit Kaya Indah, di sini, antara pukul 7.30 petang pada 7 Mei lalu sehingga 7.30 pagi pada 8 Mei lepas.
Antara peralatan yang ditemui bersama mereka termasuk empat batang besi, satu sepana boleh laras, alat pemotong, sebatang playar, pemutar skru dan satu unit alat berbentuk T yang diubah suai disyaki berfungsi sebagai kunci induk.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM250 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Tengku Ruqayyah memohon mahkamah agar dapat menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu bukannya perkara remeh malah mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan jenayah pecah rumah dan kecurian harta benda awam.
Selain itu, pemilikan barang pecah rumah itu juga menunjukkan persediaan tertuduh melakukan jenayah yang memberi ancaman serius kepada keselamatan awam.
Mahkamah kemudian memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan dan berdepan tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, dokumen perjalanan pasport tertuduh turut dipulangkan, manakala barang kes bersangkutan dilupuskan manakala wang tunai rampasan pula diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui pihak pendakwaan.-UTUSAN










