KULAI: Seorang pemandu bas dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat biru pada sebuah rumah di Taman Muhibbah, Saleng, minggu lalu.
Pemandu bas tersebut, R. Haree, 38, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat berwarna biru sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1,000 kepada mangsa di sebuah rumah di Jalan Jambu 21, Taman Muhibbah, Saleng pada jam 1.48 pagi, 15 Mei lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mahkamah, Inspektor Amy Dahlia Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










