Bekas eksekutif pentadbiran tak mengaku 29 tuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Bekas eksekutif pentadbiran tak mengaku 29 tuduhan pecah amanah

BEKAS eksekutif pentadbiran syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 29 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang bekas eksekutif pentadbiran syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 29 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000.

Tertuduh, M. Vijairani,44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Vijairani sebagai eksekutif pentadbiran dengan curang telah melakukan pecah amanah ke atas harta syarikat yang keseluruhannya berjumlah lebih RM350,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Force One Protection (M) Sdn. Bhd. di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih dekat sini, antara 20 April 2021 hingga 25 Mei 2023.

Vijairani yang kini menganggur didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam, G. Shanmugam.

Wan Amira kemudiannya mencadangkan tiada jaminan dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kes tersebut disifatkan serius.

Bagaimanapun, Shanmugam memohon jaminan diberikan susulan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang perlu menyara dua anak berusia 10 dan 11 tahun.

“Anak guam saya juga perlu menjaga ibunya yang berusia 74 tahun, malah tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin yang berpendapatan RM5,000 ke atas.

Selain itu, Zulhazmi turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya