KUANTAN: Kes seorang bekas pelajar universiti yang berdepan pertuduhan menghina al-Quran dan memuat naik kandungan jelik di media sosial akan disebut semula pada 29 Jun ini bagi mengetahui keputusan representasi yang dikemukakan kepada pihak pendakwaan.
Tarikh itu ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pihak pembelaan memaklumkan representasi bagi pihak tertuduh, S. Vikneswaran, 21, sudah diserahkan minggu lalu.
Peguam tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman berkata, representasi tersebut dikemukakan untuk pertimbangan pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab bagaimanapun berkata, sebarang representasi dari peguam bela akan dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kita perlu menunggu jawapan daripada pihak ibu pejabat (Jabatan Peguam Negara),” katanya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Susulan itu, Harmi Thamri menetapkan 29 Jun depan untuk pengurusan kes bagi meneliti status representasi tersebut dan memaklumkan tiada perubahan jadual perbicaraan kes selama lima hari yang akan bermula 3 Ogos ini.
Surat representasi lazimnya dikemukakan pihak pembelaan bagi memohon sesuatu pertuduhan ditarik balik atau dikurangkan.
Terdahulu, Vikneswaran yang juga bekas pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengaku tidak bersalah selepas didakwa menodai al-Quran dengan niat menghina Islam selain menggunakan aplikasi Threads untuk menghantar komunikasi jelik yang boleh menimbulkan rasa kurang senang pihak lain.
Pada 24 Mac lalu, jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan turut memecatnya selepas didapati bersalah melakukan kesalahan disiplin melibatkan isu sensitif 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja. – UTUSAN










