KOTA KINABALU: Setiap kali lawatan ke kampung, masalah bekalan air bersih antara aduan utama yang disampaikan oleh kira-kira 6,000 orang penduduk di Pulau Sebatik, Tawau.
Sejak beberapa tahun lepas, apabila musim kemarau, keresahan dan kerisauan penduduk Pulau Sebatik adalah mengenai masalah bekalan air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A. Gani Pg Amir berkata, itu antara rungutan yang disampaikan oleh penduduk kampung setiap kali musim kemarau.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat beliau cuba menyuarakan permasalahan dihadapi rakyat di Pulau Sebatik kepada agensi berkaitan termasuk mengemukakan cadangan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk mendalamkan satu-satunya kolam takungan air di pulau berkenaan yang terletak di Kampung Wallace Bay.
Katanya, memandangkan takungan air sedia ada semakin cetek maka, kawasan takungan itu perlu didalamkan dengan kadar segera sementara menunggu kerajaan membina satu lagi kolam takungan air terawat yang lain.

PENDUDUK Pulau Sebatik, Tawau terpaksa membawa gelen untuk mengisi air daripada tangki simpanan kecemasanBeliau berkata, sekiranya kolam takungan sedia ada dapat didalamkan keluasannya akan bertambah daripada 15,000 meter persegi kepada 39,000 meter persegi yang boleh menampung kapasiti air sehingga 156 juta air sehari (MLD).
Walau bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat cadangan pihak konsultan dan belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya mahupun JANS.

Justeru, beliau berharap kelulusan segera dapat diberikan untuk menyegerakan proses mendalamkan kolam takungan air di Wallace Bay sebagai persediaan menghadapi musim kemarau pada masa akan datang. -UTUSAN










