Basikal air pintar di Sungai Melaka

Basikal air pintar di Sungai Melaka

PELAJAR UTeM menunjukkan demonstrasi penggunaan Smart Hydro-Bike di Sungai Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dalam usaha melestarikan kebersihan Sungai Melaka menerusi penggunaan basikal air pintar atau Smart Hydro-Bike.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, basikal air itu merupakan hasil inovatif pensyarah dan pelajar UTeM sepenuhnya yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

Kata beliau, selain digunakan untuk aktiviti riadah, Smart Hydro-Bike turut membantu proses pembersihan sampah yang terapung di permukaan air.

“Ia juga dilengkapi ciri keselamatan seperti peranti untuk mengesan lokasi basikal bagi tujuan pengumpulan data berasaskan internet kebendaan (IoT). Buat masa ini kami menghasilkan sebanyak 10 buah Smart Hydro-Bike dengan enam daripadanya akan ditempatkan di PPSPM.

“Basikal air ini masih dalam tempoh percubaan. Sekiranya usaha ini mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak maka kita akan melanjutkan lagi usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Smart Hydro-Bike di Dataran Pengkalan Rama di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Sementara itu, Fairul Nizam berkata, Smart Hydro-Bike berpotensi menjadi kenderaan atas air baharu di Sungai Melaka selain daripada perkhidmatan bot persiaran yang disediakan Melaka River Cruise (MRC).

Menurutnya, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada perancangan PPSPM.

“Saya difahamkan kos untuk menghasilkan Smart Hydro-Bike antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah. Jadi sudah pasti PPSPM akan buat kajian menyeluruh sekiranya mahu menambah unit basikal air pintar ini.

“Selain itu basikal ini bukan semata-mata untuk membersihkan sungai tetapi turut memberi manfaat dari aspek eko kesihatan atau menjadi kenderaan baharu yang boleh digunakan pelancong untuk menelusuri Sungai Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya