Banjir: KPDN salur sumbangan barangan makanan bernilai RM11,000 - Utusan Malaysia

Banjir: KPDN salur sumbangan barangan makanan bernilai RM11,000

SAHARUDDIN Mohd. Kia (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir di SMK Menerong, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Terengganu (KPDN)  menyalurkan sumbangan barangan makanan bernilai RM11, 000 kepada mangsa  banjir di daerah ini, hari ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata sumbangan berkenaan melibatkan seramai 721 orang mangsa daripada 186 keluarga di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut beliau, pihaknya menyediakan kira-kira 6,000 stok bekalan makanan di dalam bentuk food bank yang boleh diagihkan kepada mangsa banjir di daerah terjejas di negeri ini.

“Pengagihan sumbangan ini melalui sekretariat food bank Malaysia. Kita memilih kawasan terjejas banjir mengikut keperluan makanan yang diperlukan berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.

“Hari ini seramai 186 keluarga mendapat manfaat melibatkan mangsa banjir di PPS SMK Menerong, PPS SK Menerong dan PPS Masjid Kampung Menerong. Lokaliti ini merupakan lokasi pertama terima sumbangan.

“Antara barangan disumbangkan ialah bubur, mee segera, susu pekat dan rendang kambing. Mangsa banjir boleh menikmati makanan ini selain nasi yang lazimnya disediakan di PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir di SMK Menerong, dekat sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saharuddin turut memaklumkan pihak KPDN negeri juga menasihati Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berhajat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir agar tidak mendapatkan bekalan barangan di kawasan terjejas.

“Kita harap NGO terbabit boleh merujuk seketariat bencana daerah dan negeri terlebih dahulu bagi menentukan sebarang keperluan yang mahu diagihkan. Kita tidak mahu berlaku lambakan barangan yang sama di PPS,” ujarnya.

Mengulas mengenai bekalan makanan pada musim tengkujuh ketika ini, beliau berkata, bekalan barangan di semua premis perniagaan masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya