Banjir: Beberapa kampung di Hulu Dungun terputus bekalan elektrik - Utusan Malaysia

Banjir: Beberapa kampung di Hulu Dungun terputus bekalan elektrik

KEADAAN Sekolah Kebangsaan Pasir Raja, Hulu Dungun yang dinaiki air akibat limpahan air Sungai Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Beberapa buah kampung di Hulu Dungun terputus bekalan elektrik dan hubungan komunikasi selepas beberapa pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditenggelami air, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, antara kampung yang terlibat ialah Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Tepus dan Rantau Panjang.

“Kesemua kampung ini terputus bekalan elektrik berikutan TNB menutup bekalan sementara secara berperingkat bermula pukul 2 hingga pukul 4 pagi tadi berikutan pencawang elektrik ditenggelami air.

“Bagaimanapun, pihak TNB sedang dalam proses untuk menghantar generator ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat untuk keselesaan mangsa banjir,” katanya ketika meninjau beberapa buah kampung yang terlibat banjir, di sini, hari ini.

Ghazali berkata, pihaknya juga akan menggunakan radio amatur untuk berkomunikasi dengan penduduk terlibat.

“Setakat ini banjir di Hulu Dungun ini masih terkawal dan bekalan makanan yang sedia ada masih mencukupi,” katanya.

Ghazali berkata, pihaknya turut menggunakan bot untuk menghantar bekalan makanan mentah untuk mangsa banjir terlibat.

“Beberapa kampung seperti kampung termasuk Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongok Batu sudah tidak boleh diakses melalui jalan darat dan kita terpaksa menggunakan bot untuk menghantar bekalan makanan mentah seperti ayam dan ikan.

“Kita juga telah bersedia untuk menghantar bekalan makanan tambahan sekiranya diperlukan,” katanya.

Menurut Ghazali, selain kediaman penduduk, Balai Polis Kuala Jengai, Sekolah Kebangsaan Pasir Raja serta Pondok Polis Pasir Raja turut ditenggelami air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya