PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tokoh konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin menjurus kepada bagaimana pembelian-pembelian aset dan perniagaan miliknya diperoleh.
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, siasatan SPRM akan menumpukan bagaimana pemilikan aset-aset yang dikaitkan bekas pemimpin kanan ini dapat dibuat dan sumber daripada mana.
Kata sumber itu, selain bangunan Menara Ilham, hartanah seperti hotel dan institusi perbankan dipercayai di luar negara yang mempunyai kaitan dengan Daim juga disiasat.
“Setakat ini, hartanah, bank atau perniagaan ada yang telah dikenal pasti oleh SPRM dan ada sedang disahkan terutama berada di luar negara,” katanya di sini
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan yang dilalukan terhadap Daim.
Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut kes siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu.
Beliau turut memberi jaminan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham oleh yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar ini Jumaat lalu tidak akan menjejaskan operasi dan urusan di bangunan tersebut.
“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.
“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya di sini.
Azam berkata, proses sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan, sambil menekankan sitaan Menara Ilham itu bukan satu-satunya kes.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik bekas menteri kewangan itu.
Perdana Menteri berkata, siasatan itu dibuat tanpa mengira kedudukan, tanpa pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak mahupun berniat jahat.
Utusan Malaysia dalam laporan semalam mendedahkan sitaan bangunan Menara Ilham oleh SPRM adalah untuk menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.
Sitaan dilakukan selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.
Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6% ekuiti oleh UEM Group.
Dedah Utusan Malaysia, siasatan SPRM telah pun dijalankan bermula pada awal tahun sehingga kini.
Sitaan dilakukan selepas siasatan SPRM mendapati pemilik kepada Menara Ilham adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh isteri dan anak kepada seorang bekas menteri kewangan.
Projek pembinaan Menara Ilham itu adalah lebih kurang RM580 juta.
Apa-apa aktiviti operasi harian dalam bangunan tersebut berjalan seperti biasa dan tidak dihalang oleh SPRM
Laporan Utusan Malaysia pada Mei lalu mendedahkan, beberapa dokumen berkaitan pengambilalihan, dagangan saham dan penjualan saham melibatkan sebuah syarikat tersenarai sedang diperolehi SPRM.
Kesemua dokumen ini dalam tindakan untuk diperoleh SPRM daripada beberapa penama, bank, syarikat gergasi, pemaju dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk dianalisa.
Selain mendapatkan transaksi kewangan berkaitan penjualan saham, SPRM juga dipercayai akan memanggil semua terlibat termasuk tokoh terkemuka itu.
Tumpuan siasatan SPRM berhubung penyelewengan ini adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.
Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk. – UTUSAN










