Armada gesa siasat video tular kerjasama Malaysia - Israel - Utusan Malaysia

Armada gesa siasat video tular kerjasama Malaysia – Israel

Israel
NA'IM BRUNDAGE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Armada Parti Bersatu menggesa pihak polis menyiasat sebuah video temubual di antara seorang individu yang mengaku warganegara Malaysia dan seorang kakitangan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. 

Ketua Penerangan Armada Jasin, Na’im Brundage mendakwa, video tersebut telah menimbulkan keraguan dan mengganggu ketenteraman awam sekali gus mengundang reaksi negatif daripada masyarakat.

Tambahnya, perkara itu juga jelas bertentangan dengan pendirian rakyat Malaysia yang menentang kekejaman Israel terhadap pembunuhan rakyat Palestin.

“Video tersebut memaparkan seorang lelaki bernama Victor Yong Jen Ong yang mencadangkan agar Malaysia dan Israel mewujudkan hubungan diplomatik.

“Dia juga mencadangkan agar Israel mewujudkan sebuah kedutaan di negara ini sedangkan ia jelas bertentangan dengan pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

“Di dalam video tersebut juga Victor cuba untuk menyalahkan masyarakat dan organisasi Arab yang didakwanya mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel. Pertuduhan itu jelas adalah cubaan berniat jahat untuk menyebarkan propaganda dan maklumat palsu kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Na’im lagi, pihak polis perlu mengambil tindakan segera dengan menyiasat ketulenan video tersebut yang dikhuatiri individu yang terlibat itu bersekongkol dengan agen negara Israel untuk menyebarkan berita palsu dan maklumat salah di media sosial.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat yang berhak untuk menetapkan pendirian hubungan luar negeri harus segera mengambil tindakan tegas terhadap sebarang gangguan dan cubaan dari pihak luar untuk mempengaruhi sentimen rakyat Malaysia terhadap pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya