GAZA: Keperluan kemanusiaan di Semenanjung Gaza semakin buruk ketika Israel terus mengehadkan kemasukan bantuan dengan peningkatan suhu menyebabkan khemah dan tempat perlindungan sementara menjadi tidak sesuai didiami pada waktu siang.
Menurut Tabung Darurat Kanak-Kanak Atarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), pada Rabu, kekurangan bekalan air, kemudahan kebersihan yang terhad, cuaca panas dan kelembapan melampau terus mempercepatkan penyebaran penyakit kudis buta, cacar air serta radang kulit.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran keadaan di wilayah Palestin yang dikepung itu semakin merosot selepas Israel hanya membuka satu laluan masuk untuk bantuan, di tengah-tengah kekurangan bekalan makanan dan penurunan ketara jumlah hidangan yang disediakan kepada penduduk awam.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, pihak berkuasa Israel membuka semula lintasan Kerem Shalom yang kini menjadi satu-satunya pintu masuk bagi kargo bantuan yang diluluskan ke Gaza.
“Pada masa sama, PBB dan rakan-rakan kemanusiaannya terus berusaha memenuhi keperluan penduduk walaupun berdepan halangan birokrasi dan kekurangan dana, bagi memastikan bantuan dapat diteruskan serta sampai kepada seramai mungkin golongan yang memerlukan,” katanya pada sidang media.
Namun, menurut beliau, keperluan penduduk masih terlalu besar dengan puluhan ribu keluarga kini tinggal di pusat perlindungan sesak, manakala ramai lagi terpaksa bermalam di kawasan terbuka atau bangunan yang rosak.
Katanya, cuaca yang semakin panas menyebabkan khemah dan tempat perlindungan sementara memerangkap haba sehingga tidak lagi sesuai didiami pada waktu siang.
Sehubungan itu, agensi kemanusiaan menggesa kemasukan segera bekalan penting seperti beg pasir, kayu balak, papan lapis dan simen bagi membantu memperbaiki keadaan tempat perlindungan penduduk.
Farhan turut menjelaskan keluarga di Gaza kini semakin sukar mendapatkan makanan, termasuk roti, susulan penutupan banyak dapur komuniti yang sebelum ini menyediakan hidangan kepada penduduk.
Menjelang akhir Mei, sebanyak 23 organisasi kemanusiaan menyediakan kira-kira 678,000 hidangan sehari menerusi 80 dapur komuniti, jauh berkurangan berbanding 1.5 juta hidangan sehari yang disediakan oleh 170 dapur pada pertengahan Mac lalu. – AGENSI










