BAITULMUQQADIS: Seorang pegawai tentera Israel berkata pada Rabu bahawa sebuah pangkalan udara utama Israel telah mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu Iran minggu ini, namun masih tidak jelas sama ada ia terkena secara langsung.
“Kami mengesahkan terdapat impak di pangkalan itu tetapi di kawasan yang tidak kritikal,” kata pegawai berkenaan kepada AFP, merujuk kepada pangkalan Ramat David di utara Israel.
“Kami sedang menyiasat sama ada ia disebabkan serpihan atau impak langsung. Kemungkinan besar ia adalah serpihan besar, tetapi tiada kerosakan pada peralatan atau anggota,” tambahnya.
Iran dan Israel saling berbalas tembakan awal minggu ini buat pertama kali sejak gencatan senjata diumumkan pada April.
Menurut tentera Israel, Iran telah melancarkan hampir 30 peluru berpandu ke arah Israel semasa pertempuran itu, manakala Israel pula bertindak balas dengan menyerang beberapa sasaran di seluruh Iran. – AFP










