DUNGUN: Penduduk yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, merayu pihak berkuasa menyelesaikan isu banjir lumpur yang berlaku di kawasan itu sejak tahun lalu.
Dalam kejadian terbaru kelmarin, seramai 30 penduduk daripada 10 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah selepas kediaman mereka ditenggelami banjir lumpur dipercayai berpunca daripada aktiviti kuari di kawasan berhampiran.
Penduduk mendakwa, aktiviti kuari tersebut turut menyebabkan kawasan Air Terjun Panchor berhampiran kediaman mereka tersumbat sehingga menyebabkan air melimpah dan memasuki kediaman mereka dengan cepat.
Salah seorang penduduk, Mohd. Saufi Izami Mat Nazim, 35, berkata, sistem perparitan yang tidak sempurna turut menyebabkan air tidak dapat mengalir laju, sekaligus menyebabkan kediaman penduduk dimasuki air dan lumpur dipercayai dari kuari tersebut.
“Sebelum ini, kalau banjir pun, air jernih. Sejak kebelakangan ini, kami berdepan dengan banjir lumpur.
“Kawasan kampung ini parit agak sempit, air tak dapat mengalir laju. Memang kami penat bila berdepan banjir lumpur sebab nak bersihkan kotoran susah,” katanya ketika ditemui di Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Saiful Imran Mat Nazim, 38, berkata, dia dan ahli keluarganya terpaksa berpindah selepas kediamannya mula dinaiki air sekitar pukul 10 malam.
“Bila hujan lebat tak berhenti memang kami dah bimbang berlakunya banjir tapi tak sangka akan terjadi banjir lumpur.
“Tak sampai satu jam, air lumpur dengan lajunya mengalir dari bukit berhampiran dan masuk dalam rumah.
“Sebelum ni, tak pernah berlaku seteruk ini. Sejak projek korek tanah dibuat, rumah kami jadi mangsa,” katanya yang berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Mohd Saiful Imran berkata, walaupun banjir telah mulai surut, namun dia dan penduduk lain bimbang kejadian sama akan kembali berulang. – UTUSAN










