KOTA KINABALU: Pemimpin-pemimpin akar umbi Parti Warisan (Warisan) lantang bersuara ingin mengubah Sabah dan kerajaan sedia ada menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, hasrat mengubah Sabah itu kerana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat gagal menyelesaikan masalah asas di Sabah.
“Kerajaan GRS ini gagal dalam urusan pembangunan Sabah. Malah, dalam belanjawan negeri RM5.701 bilion baru-baru ini pun, lebih banyak projek berbanding inisiatif membantu rakyat yang miskin,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Warisan, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tiada ertinya sentimen tempatan kalau semangatnya tidak bersifat tempatan.
“Apa gunanya parti tempatan jika tanah dijual, kewangan negeri tidak dapat diurus dengan baik dan rakyat Sabah tidak terbela. Pergolakan politik hari ini cukup mencabar, kalau kita tidak main peranan perbetulkan, maka politik Sabah cukup membimbangkan.
“GRS Sabah Maju Jaya, ini gabungan parti yang gagal. Ini merupakan satu parti kalau diimbau sejarahnya telah melanggar Perlembagaan Negeri Sabah kerana mana mungkin Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) boleh menjadi Ketua Menteri sedangkan GRS tidak pernah bertanding dalam pilihan raya.
“Maka, saya ingin petik Perlembagaan Negeri Perkara 6(3) yang merujuk tentang kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah melantik Ketua Menteri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan,” katanya.
Mengenai persiapan sekiranya pilihan raya diawalkan, Mohd. Shafie berkata, persediaan Warisan cukup mantap malah telah mengenal pasti beberapa calon yang boleh diketengahkan dalam pilihan raya akan datang.
“Kita berharap ia jadi kenyataan untuk mengubah kerajaan yang ada di Sabah,” katanya. – UTUSAN










