LANGKAWI: Nostalgia bola sepak era 1990-an bakal dihidupkan semula apabila legenda Kedah dan Singapura dijadual bertemu semula menerusi Piala Merdeka Nostalgia 1993, satu acara yang dijangka mengubat kerinduan penyokong terhadap zaman kegemilangan bola sepak serantau.
Kejohanan yang sedang giat dipersiapkan itu bukan sekadar perlawanan persahabatan, sebaliknya menjadi pentas istimewa untuk menghargai jasa pemain-pemain yang pernah mewarnai antara era paling bersejarah dalam bola sepak Malaysia dan Singapura.
Beberapa siri mesyuarat bersama agensi serta badan kerajaan telah diadakan di Langkawi, manakala komunikasi dengan pihak legenda Singapura berjalan dengan positif, sekali gus memberikan keyakinan bahawa acara berkenaan mampu menjadi antara pertemuan nostalgia bola sepak terbesar di rantau ini tahun ini.

Penaung merangkap penganjur kejohanan, Datuk Zuraidi Rahim berkata, sambutan yang diterima daripada bekas pemain, penyokong serta pelbagai pihak amat memberangsangkan dan menepati matlamat asal penganjuran kejohanan tersebut.
Menurut beliau, Piala Merdeka Nostalgia 1993 bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa, sebaliknya satu platform bagi mengimbau semula era kegemilangan bola sepak Malaysia dan Singapura yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada awal 1990-an.
“Persiapan berjalan lancar dan kami amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan semua pihak. Apa yang lebih penting, semangat yang ditunjukkan oleh legenda Kedah dan Singapura cukup luar biasa untuk menjayakan acara ini.
“Kejohanan ini bukan hanya mengenai bola sepak, tetapi menghargai jasa pemain terdahulu yang pernah mengangkat martabat sukan ini serta mengeratkan kembali hubungan persahabatan antara dua negara yang mempunyai sejarah panjang dalam arena bola sepak,” katanya.
Ketika ini, pihak penganjur sedang menunggu pengesahan akhir senarai pemain yang bakal mewakili pasukan legenda Kedah dan Singapura sebelum diumumkan secara rasmi pada sidang media khas di Singapura bulan depan.
Apa yang menjadikan kejohanan ini lebih istimewa adalah nilai sejarah yang dibawanya, di mana tahun 1993 dianggap antara era paling gemilang dalam bola sepak tempatan apabila stadium sentiasa dipenuhi penyokong dan perlawanan melibatkan pasukan seperti Kedah serta Singapura sering menjadi tumpuan utama peminat.
Malah, ramai legenda yang bakal ditampilkan dalam kejohanan ini merupakan pemain yang pernah mencipta nama pada era tersebut dan ia memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali semula ikon-ikon bola sepak yang pernah menjadi kebanggaan penyokong.
Selain mengimbau nostalgia, kejohanan itu turut dilihat mampu mengukuhkan hubungan erat antara bekas pemain Malaysia dan Singapura yang pernah bersaing sengit di atas padang, tetapi tetap berkongsi rasa hormat serta persahabatan yang berkekalan sehingga hari ini.
Dengan persiapan yang berjalan mengikut perancangan, Piala Merdeka Nostalgia 1993 dijangka menjadi medan terbaik untuk menghidupkan semula kenangan era kegemilangan bola sepak Nusantara, membuktikan bahawa legasi yang dibina lebih tiga dekad lalu masih segar dalam ingatan peminat sehingga kini.-UTUSAN










