DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menafikan sekeras-kerasnya laporan yang disiarkan beberapa media antarabangsa yang mendakwa berlaku pemindahan dana dari negara itu ke Iran, termasuk melibatkan AS$3 bilion (RM12 bilion).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar UAE menegaskan, dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak berasas, sambil menekankan tiada dana Iran yang dibekukan telah dikeluarkan, dipindah dan difasilitasi melalui UAE.
Kementerian itu turut menggesan organisasi media supaya mengamalkan ketepatan dalam melaporkan berita, merujuk sumber rasmi serta mengelakkan penerbitan atau penyebaran maklumta yang tidak disahkan dan dakwaan tidak berasas.
Sebelum ini, media melaporkan UAE bersetuju untuk membebaskan dana berbilion dolar milik Iran, dalam perubahan taktikal selepas beberapa minggu serangan Iran ke atas negara Teluk semasa perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan republik Islam itu.
Dua sumber serantau memberitahu Reuters, UAE bersetuju melepaskan dana berjumlah AS$10 bilion (RM40.5 bilion), dengan lebih AS$3 bilion (RM12 bilion) daripadanya sudah disalurkan.
Dua lagi sumber yang mengetahui mengenai pengaturan itu meletakkan jumlah keseluruhan dana yang terbabit pada AS$20 bilion (RM81 bilion), sambil menambah langkah tersebut dipersetujui sebagai balasan kepada penghentian serangan Iran ke atas UAE.
Salah seorang sumber itu turut berkata pembayaran pertama berjumlah AS$3 bilion sudah pun disediakan.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada dana yang diperuntukkan untuk pemindahan itu milik UAE atau berasal daripada akaun Iran yang telah lama dibekukan dalam sistem perbankan UAE atau di lokasi lain.
Namun, seorang pegawai UAE yang diminta mengulas mengenai pemindahan dana tersebut berkata negara itu sedang berusaha meredakan ketegangan dan menggalakkan keamanan.










