KOTA KINABALU : Kesibukan sebagai atlet olahraga negara tidak menghalang Nur Aishah Rofina Aling untuk menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-25 baru-baru ini.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan Kepujian ini, dia mula berkecimpung dalam sukan sejak di bangku sekolah dan meneruskannya di sekolah sukan.
Kemudian pada tahun 2014, Nur Aisyah mengikuti latihan olahraga secara persendirian yang lebih spesifik untuk melatih dirinya menjadi lebih baik.
“Walaupun banyak perkara yang terpaksa dikorbankan dari segi masa, wang dan tenaga namun ia akhirnya berbaloi,” katanya.
Aishah menjadikan ratu pecut negara dan Zaidatul Husniah sebagai sumber inspirasinya untuk terus melakar kejayaan. Di samping aktif dalam bidang sukan, beliau gigih menamatkan pengajiannya dan akhirnya menjadi alumni UPM.
Ketika ditanya bagaimana cara beliau membahagikan masa antara pelajaran dan sukan, katanya disiplin dan pengurusan masa yang baik adalah sangat penting.
“Saya membuat jadual untuk membahagikan masa saya untuk belajar dan latihan. Kalau kelas saya pada waktu pagi, saya akan membuat latihan pada waktu petang,” ujarnya. –UTUSAN










