ALOR SETAR: Lebih 90 peratus kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selesai menjalani proses penanaman padi bagi musim ini setelah isu ‘kehilangan’ benih padi sah (BPS) yang dilaporkan sebelum ini diatasi menerusi perhatian penuh kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, ketika ini isu ketiadaan benih tidak lagi timbul dalam kalangan petani memandangkan masing-masing sudah mendapat bekalan mencukupi.
Justeru katanya, MADA menjangkakan proses penanaman di baki 10 peratus lagi kawasan selesai dalam tempoh seminggu dua ini.

“Dua minggu lepas, jumlah yang sudah selesai menanam adalah kira-kira 65 peratus dan kini jumlahnya meningkat 90 peratus. Jumlah itu cepat meningkat kerana segala keperluan telah tersedia.
“Sekarang ini isu benih padi yang tidak cukup tidak lagi timbul. Selepas kerajaan umum sebanyak 40,000 kampit benih padi akan dihantar ke Kedah pada pertengahan November, isu itu selesai tak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Pada 6 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan hanya 10.1 peratus kawasan MADA yang telah selesai melalui proses penanaman padi sedangkan jika mengikut jadual pada waktu itu, keluasan sepatutnya telah mencecah 50 peratus.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan yang petani mungkin tidak dapati mematuhi jadual penanaman padi ditetapkan kerana ketika itu mereka berdepan isu bekalan BPS yang sukar diperoleh serta harga yang jauh lebih mahal di ‘pasaran gelap’.
Kata Dr. Ismail, isu ketiadaan benih padi yang diperkata sebelum ini juga selesai selepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta supaya empat kilang pembekal benih di utara memberi tumpuan terhadap perkara itu.
“Boleh dikatakan, isu itu selesai hampir serta-merta selepas menteri datang. Sebaik sahaja BPS itu lulus di peringkat jabatan pertanian, stoknya terus dihantar kepada pihak sepatutnya.
“Maka, kini isu itu selesai dan kita tidak lagi berdepan apa-apa masalah untuk melengkapkan pusingan penanaman padi seterusnya dalam kawasan MADA,” katanya. -UTUSAN










