25,054 masih terjejas banjir

25,054 masih terjejas banjir

DUA kanak-kanak bermain air banjir sambil menaiki sebuat bot di Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HARRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir Monsun Timur laut (MTL) di empat negeri menurun kepada 25,054 orang, manakala satu negeri ditutup, setakat pukul 6.30 petang semalam.

Menurut kemas kini portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia melibatkan 7,965 keluarga yang ditempatkan di 106 pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara yang masih terkesan termasuk sejumlah 7,936 kanak-kanak; 1,218 warga emas serta 769 bayi.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi laporan harian memberitahu, terdapat tiga kematian direkodkan akibat banjir MTL.

Ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Mas dan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu pada Selasa lepas, selain seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Mas pada Sabtu lalu.

Sementara itu, dua PPS di Sabah ditutup semalam dengan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Kedua-dua PPS di Daerah Kecil Paitan yang menempatkan 31 mangsa pagi semalam, masing-masing dibenarkan pulang selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Paitan, Joloning Joe Majambu dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua PPS di daerah itu ditutup pada pukul 2 dan 4 petang ini.

Di Kelantan, jumlah mang­sa banjir semakin berkurang apabila seramai 20,778 mangsa banjir direkodkan setakat pukul 5 petang semalam berbanding 21,380 pada sebelah pagi kelmarin.

Menurut InfoBencanaJKM, seramai 602 orang mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, manakala kesemua mangsa dari 6,792 mangsa sedang berlindung di 54 buah PPS.

Antara jajahan yang masih terjejas ialah Pasir Mas, Tumpat dan Kuala Krai.

Sementara itu, bacaan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih berada pada tahap amaran.

Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai), Kusial (Tanah Merah), Tambatan Diraja (Kota Bharu) melepasi paras amaran sementara Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pula pada bacaan berjaga-jaga.

Lain-lain sungai utama di negeri ini berada pada para normal.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu berkurangan kepada 4,476 orang melibatkan 1,216 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS, setakat pukul 4 petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, banjir di daerah Besut pulih sepenuhnya tengah hari semalam, manakala mangsa tertinggi ialah di daerah Dungun iaitu 2,892 orang (795 keluarga) di 30 PPS diikuti Hulu Terengganu iaitu 642 mangsa (179 keluarga) di empat PPS.

“Selain itu, daerah Kuala Nerus pula menempatkan 392 mangsa (105 keluarga) di dua PPS, Kuala Terengganu (188 orang, 49 keluarga di tiga PPS dan Kemaman (204 orang, 50 keluarga) di tiga PPS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×