108 orang murid TIPs JAIPs diraikan - Utusan Malaysia

108 orang murid TIPs JAIPs diraikan

TUANKU Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen Murid Tadika Islam Perlis (TIPs) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Dewan Warisan Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Konvokesyen Murid Tadika Islam Perlis (TIPs) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Dewan Warisan di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.

Majlis Konvokesyen TIPs dianjurkan bertujuan memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid TIPs yang telah berjaya menempuh alam pra-sekolah.

Seramai 108 orang murid enam tahun yang bergraduasi terdiri daripada 15 buah TIPs yang beroperasi di seluruh negeri Perlis.

Najmuddin dalam ucapannya menyatakan, pendidikan Islam perlulah diperkenalkan seawal usia pra-sekolah bagi menyemai benih bermutu dalam pembentukan ummah Islam di masa akan datang.

Katanya, pendidikan Islam merupakan satu proses mengajar manusia membentuk serta melatih dalam pelbagai bidang seperti fizikal, rohani, akal, akhlak dan kesedaran sosial bagi melahirkan anak-anak yang sempurna, beriman, berakhlak mulia, berbadan sihat, berilmu dan berkemahiran dalam kerjaya.

“Majlis ini juga berupaya meningkatkan motivasi dan menyuntik semangat murid-murid untuk meneruskan sesi persekolahan peringkat rendah yang lebih mencabar pada tahun akan datang,” katanya.

Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Cemerlang Akademik, Anugerah Sahsiah Terpuji dan Anugerah Tokoh Murid kepada 16 orang pelajar cemerlang.

Setiap pelajar menerima hadiah berupa beg sekolah dan wang tunai serta sijil Prasekolah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya