Reman pegawai kanan JAIPs, imam disambung tiga hari - Utusan Malaysia

Reman pegawai kanan JAIPs, imam disambung tiga hari

SUSPEK kes suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran semula pernikahan di Perlis di bawa masuk ke perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis bagi permohonan lanjutan reman. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Reman tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan seorang imam disambung selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan lebih RM1 juta untuk memudahkan urusan pendaftaran semula pernikahan di negeri ini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar sekitar pukul 9:35 pagi bagi permohonan lanjutan reman tersebut.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Ahmad Hamdi Mustafar membenarkan lanjutan reman itu sehingga 12 Jun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Permohonan itu dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat SPRM manakala ketiga-tiga suspek diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Terdahulu, SPRM mengemukakan permohonan lanjutan reman kepada mahkamah selama tujuh hari bagaimanapun peguam suspek membantah dengan alasan proses penyiasatan tidak memerlukan penahanan ketiga-tiga orang yang disyaki tersebut.

Dalam perkembangan sama, sumber SPRM juga memaklumkan tidak menolak kemungkinan terdapat akaun bank yang akan dibekukan selepas penelitian rapi dibuat berhubung kes tersebut.

Utusan Malaysia pada Rabu lalu melaporkan mengenai tiga suspek berkenaan yang direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran semula pernikahan di negeri ini.

Pegawai kanan JAIPs berusia 45 tahun itu ditahan sekitar pukul 4 petang di pejabat JAIPs, manakala dua lagi suspek, imam berusia 52 tahun dan anaknya yang juga pemilik syarikat, 25, ditahan kira-kira pukul 6 petang hari sama di pejabat SPRM Perlis.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati pemilik syarikat berkenaan disyaki membayar RM1.183 juta kepada pegawai JAIPs tersebut sejak April 2022 hingga Jun 2023.

Katanya, siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai turut terlibat dalam urusan mendaftarkan perkahwinan di negara ini bagi pasangan yang bernikah di luar negara.

Menurut sumber itu lagi, pasangan yang ingin mendaftarkan perkahwinan akan membayar  RM5,000 kepada syarikat perunding milik anak imam itu, dan wakil syarikat akan membayar denda RM2,000 kepada jabatan melalui pegawai JAIPs berkenaan.

Selain itu, suspek utama tersebut juga dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek iaitu imam masjid dan anaknya yang bertindak sebagai perunding bagi menguruskan pernikahan di Perlis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×