KOTA KINABALU: Tindakan terbaharu Parti Warisan (Warisan) yang ingin menuntut pampasan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti disifatkan sebagai cubaan menakut-nakutkan wakil rakyat berkenaan.
ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, ia dilakukan agar kesemua 11 ADUN termasuk beliau berasa gelisah dan mungkin bertukar fikiran.
Namun beliau tidak melihat ADUN terbabit akan kembali menyokong Warisan.
Beliau berkata, jika menerima surat tuntutan pampasan, beliau sedia melawan di mahkamah.
“Setakat ini saya belum terima apa-apa surat daripada Presiden (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) atau parti. Jika ada, sudah tentu (lawan), kita mahu tahu apa alasan atau asasnya.
“Tindakan diambil ini tidak berasas. Mungkin Warisan sudah tiada duit. Sebelum ini, tidak pernah disebut mengenai perkara ini. Sepatutnya perbelanjaan pilihan raya adalah tanggungjawab parti kerana calon dipilih oleh parti, parti yang patut membiayai.
“Tapi perlu dilihat biaya itu sebanyak mana sebab tiada rekod dicatatkan namun perbelanjaan yang dibenarkan dan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuma RM100,000 untuk calon ADUN dan RM200,000 untuk Parlimen,” katanya di sini semalam.
Katanya, selaku bekas menteri Persekutuan, Presiden seharusnya membantu membawa pelabur masuk ke Sabah kerana beliau mempunyai banyak kenalan dan bukannya fokus kepada isu remeh-temeh sebegini yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu ADUN Tanjung Kapor, Ben Chong Chen Bin menyifatkan Warisan hanya cuba ingin menimbulkan isu baharu selepas tindakan undang-undang yang diambil sebelum ini tidak berpihak kepada parti tersebut. – UTUSAN