Wakil rakyat Pas dididik setia pada parti - Utusan Malaysia

Wakil rakyat Pas dididik setia pada parti

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Wakil rakyat Pas telah dididik untuk terus setia kepada parti dan tidak akan berpaling tadah dengan menyokong pihak lawan bagi kepentingan tertentu.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd, Shukri Ramli berkata, buat masa ini, tiada mana-mana pemimpin atau wakil rakyat parti itu di Perlis memilih untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Katanya, pihaknya berpandangan beberapa wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini hanyalah bertujuan bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

“Namun begitu, sokongan sebenar mereka masih kepada PN dan saya ingat apa yang berlaku ini akan menjadikannya sebagai peluang dan bukannya halangan.

“Kalau wakil rakyat PN boleh nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dengan tidak pindah parti, tak mustahil wakil rakyat PH-BN pun boleh buat perkara yang sama,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan empat ahli Parlimen Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, termasuk dua daripadanya dalam tempoh kurang 24 jam bagi menyokong Perdana Menteri.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri yang juga Menteri Besar berkata, PN tetap positif menerima perkara itu dan tidak boleh menghalang tindakan setiap wakil rakyat mereka yang mengalihkan sokongan kepada pentadbiran Anwar.

“Kita tak boleh menghalang kerana di depan terdapat ruang yang telah dibuka untuk ke arah itu,” katanya.

Di samping itu, Mohd Shukri berkata, pihaknya berpandangan pindaan perlembagaan Akta Lompat Parti dianggap gagal dan perlu diperkemaskan oleh kerajaan.

“Ini adalah supaya semua wakil rakyat tidak boleh mencari helah untuk menghalalkan benda yang tidak baik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya