UPSR tidak akan dikembalikan

UPSR tidak akan dikembalikan

Pkharuddin Ghazali (kanan) beramah mesra dengan para hadirin selepas Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, semalam. –UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sesuai dilaksanakan ketika ini ke­rana ia dilihat menyekat usaha membentuk karakter, keupa­yaan dan jati diri seorang murid.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, ketika ini, Kementerian Pendidikan mahu setiap murid itu diberi nilai tambah dari segi pembinaan karakter sebagai benteng menghadapi dunia tanpa sempadan ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya ti­dak mengatakan peperiksaan itu tidak baik tetapi pada masa ini aspek tambah nilai kepada murid itu yang lebih utama.

“Kita faham bahawa dengan cabaran dunia tanpa sempadan ketika ini ditambah pendedahan terhadap gajet dan internet, ia menyebabkan nilai berkenaan tiada dalam diri mereka (murid).

“Hari ini kita lihat anak-anak ini tidak berada dalam ma­sya­rakat tetapi mereka berada da­­­lam dunia mereka sendiri de­­­­­­­n­gan gajet yang mengajar pel­bagai perkara,” katanya ketika ditemui selepas program Bi­cara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini, semalam.

Rabu lalu, Sarawak dilaporkan bakal memperkenalkan sistem penilaian tersendiri ia­itu peperiksaan khas untuk seluruh pelajar tahun enam di semua sekolah kerajaan di dalam negeri tersebut bagi menggantikan UPSR.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penilai­an tersebut akan menyerupai UPSR yang sebelum ini dimansuhkan oleh KPM.

Kata beliau, kerajaan negeri berusaha untuk merealisasikan pelan tersebut kerana ia dipercayai akan membantu pelajar-pelajar.

“Perkara ini bergantung kepada dasar Persekutuan. Bagaimanapun, kami di Sarawak akan berusaha untuk mempunyai sistem penilaian sendiri.

“Ini kerana kita percaya itu satu-satunya kaedah untuk kita mengetahui prestasi sebenar pelajar,” katanya dalam satu program seperti mana dilaporkan oleh The Borneo Post.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, KPM memansuhkan UPSR pada tahun 2021 dan digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Dalam pada itu, Pkharurrin mengakui Kementerian sendiri tercari-cari kaedah sesuai bagi menggantikan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) selepas negara berdepan pandemik Covid-19 sekitar tiga tahun lalu.

Kata beliau, ketika itu, tercetuslah idea untuk memper­kenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi kemasukan ke sekolah khusus dan berasrama.

Menurutnya, selepas tiga tahun dilaksanakan, pihaknya melihat PKSK sebagai instrumen sesuai bagi menilai murid termasuk kecenderungan dan keupayaan darjah kecerdasan (IQ) mereka.

“Malah, pengetua sekolah khusus dan berasrama juga mengakui peperiksaan itu berjaya membantu menyesuaikan murid di sekolah berkenaan,” katanya.

Menurut Phkaruddin, beliau sendiri terlibat dengan pengurusan peperiksaan selama 20 tahun di Lembaga Peperiksaan dan mengakui ia tugas sukar untuk menyandarkan keupa­yaan pelajar tanpa peperiksaan.

Jelasnya, pengupayaan murid di peringkat rendah ketika ini dijangka dapat mempersiapkan murid untuk ke pe­ringkat sekolah menengah dan kemudiannya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuh­nya manakala pada tahun yang sama Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan me­laksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN