Unimap lakar sejarah, universiti teknikal pertama diiktiraf META 2023

Unimap lakar sejarah, universiti teknikal pertama diiktiraf META 2023

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengurniakan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Abdul Khalim Al Azizi Syahril pada Istiadat Konvokesyen-18 Unimap di Dewan Ilmu kampus Alam Unimap Pauh Putra, Arau, Perlis semalam.- MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti teknikal pertama me­nerima Anugerah Malaysia’s Best for Professional TVET Certification dalam Malaysia Education and TVET Awards (META) 2023.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail bertitah, antara faktor kejayaan institusi tersebut adalah dengan memberi fokus terhadap program-program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi yang lebih terkehadapan seperti sektor elektrik dan elektronik khususnya dalam perindustrian semi konduktor.

Titah baginda, Unimap me­lalui penubuhan pusat TVET mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam mem­bangunkan modal insan berkualiti dan memperkasa penuntut institusi berkenaan.

“Fokus TVET Unimap adalah untuk memperkasa pelajar de­ngan ilmu pengetahuan, kemahiran insaniah, kemahiran teknikal dan meningkatkan kebolehpasaran modal insan seiring dengan kehendak pemain industri.

“Selain itu, langkah ini adalah bagi menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama generasi muda,” titah baginda sewaktu Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen Ke-18 Unimap di Dewan Ilmu, di sini, semalam.

Yang hadir sama semasa istiadat itu ialah Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.

Terdahulu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Prof. Dr. Kazuhiro No­gita dan Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Pengurusan kepada Zaki Abdul Aziz M.H. Daud.

Menerusi sesi pertama konvokesyen kali ini, seramai 418 graduan menerima anugerah yang disampaikan sendiri oleh baginda selaku Tuanku Canselor Unimap.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah buat semua pihak yang memberi komitmen penuh bagi menjayakan istiadat konvokesyen berkenaan.

“Buat para siswazah, semoga pencapaian yang membanggakan pada hari ini menjadi titik tolak dalam kehidupan masing-masing untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” titah baginda.

“Tahniah buat ibu bapa, penjaga, isteri, suami dan anak-anak yang sentiasa mendoakan, sanggup berkorban masa, wang ringgit dan apa sahaja demi memastikan ahli keluarga tersayang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang,” titahnya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya