Orang muda sokong PN, hanya tinggal orang tua tak reti bahasa - Hadi 

Orang muda sokong PN, hanya tinggal orang tua tak reti bahasa – Hadi 

ABDUL Hadi Awang menyampaikan ceramah pada program Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik, Kijal, Kemaman, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap pengundi dalam kalangan warga emas di Parlimen Kemaman tidak faham politik apabila menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-15), baru-baru ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, golongan pengundi tersebut didapati masih tidak mahu menyokong Pas berbanding pengundi muda dalam pilihan raya sebelum ini

Menurutnya, pengundi warga emas itu merasakan mereka sudah selesa dengan kehidupan yang dinikmati sekarang, berbeza pada zaman pemerintahan Jepun dahulu.

“Alhamdulillah dalam PRN dan Parlimen (PRU15) baru-baru ini, gelombang orang muda berlaku, orang muda-muda umur 21 hingga 40 tahun majoriti sokong kita (Pas), yang tinggal orang tua-tua tak reti bahasa.

“Mereka (berumur) 60 dan 70 tahun, bila kita ajak mengundi (Pas), kata masa zaman Jepun dulu  susuh lagi, sekarang senang dah boleh ke laut, boleh sembahyang, orang tidak ganggu. Dia (warga emas) kira begitu saja, dia tak faham politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik, Kijal, Kemaman, malam tadi.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, golongan warga emas itu perlu terus dipujuk supaya mengundi Pas dalam PRK Parlimen Kemaman ini, namun boleh ditinggalkan sekiranya kekal dengan pendirian mereka itu.

“Hok (warga emas) ni kalau boleh pujuk, pujuk. Kalau ambil masa, tak usah pujuk, buat habis masa, lok (biar) situlah,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu yang juga calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Selain itu, Abdul Hadi juga memperlekehkan calon BN, Tan Sri Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang didakwa sebagai tidak sesuai dipilih bertanding di Parlimen Kemaman.

Malah, katanya, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan calon payung terjun dipilih selepas BN ketandusan pemimpin untuk bertanding dalam PRK ini.

“Dia (BN) ambil jeneral tentera jadi calon, jeneral tentera kalau tanding di tempat perang moleklah (sesuai), sebab orang berperang dan di Kemaman ini buka tempat perang. Jeneral tentera sesuai ke dengan orang Felda, dengan orang ke laut (nelayan),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN