LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan tiada kenaikan harga ayam luar biasa selepas empat hari subsidi dan harga siling makanan asas tersebut dimansuhkan pada Rabu lalu.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya mengadakan pemantauan bagi memastikan harga ayam tidak naik secara mendadak.
“Kita lihat harga ayam di pasar basah yang paling tinggi, tapi masih terkawal.
“Secara puratanya harga ayam kebangsaan semalam adalah RM8.51, di Semenanjung RM8.49,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan pelepasan Program Retail Digitalisation Initiative (ReDI) di Jalan Pantai Tengah di sini.
Menurutnya, harga purata ayam sekilogram (kg) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan adalah lebih tinggi berbanding Semenanjung kerana harga silingnya sebelum ini juga tinggi.
Sementara itu Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, tiada aduan mengenai penjualan gula melebihi harga siling atau kekurangan bekalan gula.
“Pada Mei lalu kita telah membawa masuk hampir 70 tan metrik gula ke sini, dan baru-baru ini kita masukkan lagi 70 tan metrik gula ke Langkawi dengan harapan gula ini dapat dibeli pengguna dengan harga RM2.85, harga kawalan kita,” katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak mendapat aduan mengenai kekurangan bekalan gula atau pun kenaikan harga gula melebihi harga siling dan meminta pengguna untuk melaporkan sebarang penjualan barang kawalan yang melebihi harga siling. – UTUSAN










