SHAH ALAM: Penyanyi, Ariff Bahran, tidak tersinggung dengan tanggapan seolah-olah juri Famili Duo, Mas Idayu lebih menyukai persembahan sepupunya, Haqiem Rusli.
Menurut Ariff, Mas Idayu yang mesra disapa mummy bersikap profesional, tidak berat sebelah atau mengamalkan favoritsm dalam menjalankan tugasnya.
“Mummy memang minat Haqiem sejak sebelum ini lagi. Tapi, saya anggap kritikan darinya atau abang Ajai adalah profesional dan dinilai berdasarkan persembahan kami.
“Sekarang mummy nampak persembahan saya justeru saya akan berusaha untuk kurangkan kesalahan.
“Saya dan Haqiem naik ke atas pentas sebagai satu pasukan dan menang juga atas semangat berpasukan,” katanya.
Ariff dan Haqiem ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media konsert minggu keempat program Famili Duo, semalam.
Persembahan cemerlang membawakan lagu medley Janam Janam, Goyang Inul dan 100% Cintaku semalam melayakkan pasangan itu memenangi Duo Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000.
Mereka turut menjadi pasangan pertama yang memperoleh markah penuh iaitu 10 markah daripada kedua-dua juri.
“Minggu pertama kami dikritik hebat kerana tidak faham konsep pertandingan. Lama kelamaan kami dapat rentak dan mula bijak menyusun strategi.
“Cuma kami tidak ingin berasa terlalu selesa kerana bila-bila masa sahaja peserta lain, yang merekodkan markah rendah boleh bangkit.
“Kami ambil kira teguran abang Ajai untuk tidak membawakan persembahan dengan konsep yang sama lagi minggu depan,” tambahnya.
Dengan kemenangan itu, Ariff dan Haqiem diberi peluang untuk menentukan persembahan dengan tema Idola/Legenda pada minggu hadapan.
Sebelum ini, pada konsert minggu kedua, mereka juga pernah diumumkan sebagai Duo Terbaik ketika menyanyikan lagu medley Earth Song dan We Will Not Go Down nyanyian asal Michael Jackson serta Michael Heart.