Terpulang kepada Bersatu kemuka rayuan cabar keputusan

Terpulang kepada Bersatu kemuka rayuan cabar keputusan Speaker Dewan Rakyat

Mahkamah
ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terpulang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama ada ingin  mengemukakan rayuan atau tidak berhubung parti itu gagal mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merupakan hak Bersatu jika ingin mengemukakan rayuan meskipun keputusan sudah dibuat Mahkamah Tinggi.

“Itu hak mereka. Saya tidak perlu untuk mengulas sebagaimana pandangan saya tentang kes ini pun saya fikir tidak penting.

“Yang penting adalah keputusan dan juga sebab penghakiman yang dibuat oleh hakim bersandarkan kepada dua asas perundangan Perlembagaan Persekutuan Perkara 63.

“Dan juga duluan penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah tertinggi, Mahkamah Persekutuan sebelum ini bahawa prosiding di Parlimen ini, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Bersatu gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Johari yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan dua pihak untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu, kosong.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lalu.

Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen itu iaitu Armizan, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Armizan yang juga pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut menggesa agar semua pihak akur dengan keputusan yang dibuat oleh hakim di Mahkamah Tinggi itu.

“Kerana keputusan itu bersandarkan kepada peruntukan undang-undang (dan) peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada. Apa cadangan lain, itu terpulang kepada mana-mana pihak,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN