SERDANG: Festival automotif tempatan terbesar, Perodua vs Proton Day 2026 dijangka kembali mencipta sejarah apabila menyasarkan kehadiran lebih 20,000 kenderaan dan 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya pada 8 dan 9 Ogos ini.
Edisi keempat acara berkenaan bakal berlangsung buat julung kali di Parkir 1A, Tapak Pameran Agro Malaysia Serdang (MAEPS) selepas tiga penganjuran terdahulu diadakan di Stadium Shah Alam.
Pengarah Program, Muhammad Syamim Zulkifli berkata, pemindahan lokasi ke MAEPS dibuat bagi menampung pertambahan komuniti pemilik serta peminat kereta nasional yang semakin berkembang saban tahun.
“Acara pada kali ini dijangka sangat meriah kerana tahun-tahun sebelum ini kita pernah mengumpulkan hampir 20,000 buah kenderaan. Jadi, tahun ini kita sasarkan lebih 20,000 pengunjung dan kereta yang akan hadir,” katanya ketika ditemui sempena taklimat program di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengarah Program Bersama, Shah Affendi.
Program dua hari itu dianjurkan oleh S&H Event Automotive & Entertainment dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Petronas Syntium sebagai rakan pelincir rasmi dan Mr. Absorber selaku rakan suspensi kenderaan.

Muhammad Syamim berkata, Perodua vs Proton Day bukan sekadar himpunan peminat automotif, malah menjadi platform terbesar yang menyatukan komuniti pemilik Proton dan Perodua dari seluruh negara.
“Saya tengok sambutan untuk kereta nasional khususnya Perodua dan Proton ini, komunitinya sangat besar. Tujuan utama adalah untuk kita kumpulkan semua komuniti yang ada di Malaysia dalam satu acara,” ujarnya.
Beliau berkata, acara itu turut memberi peluang kepada peminat modifikasi menampilkan hasil kreativiti serta pengubahsuaian kenderaan masing-masing kepada khalayak ramai.
“Kepada kumpulan yang modifikasi kereta, yang buat kereta beribu-ribu sehingga ratusan ribu, inilah platform untuk mereka tonjolkan hasil seni tangan sendiri dan pengorbanan wang ringgit mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lebih 60 kategori akan dipertandingkan sepanjang acara berkenaan melibatkan pelbagai segmen pengubahsuaian dan persembahan kenderaan.
Katanya, penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk piala gergasi setinggi 12 kaki (3.66 meter) bagi kategori anugerah utama.
“Semua peserta yang menyertai pada tahun ini akan berpeluang membawa pulang hadiah piala. Mereka tidak akan balik dengan tangan kosong,” katanya.
Acara itu turut mendapat sokongan daripada HE Official Garage, Street Garage, Budak Kereta Geng Kita dan 3R Wheel, sekali gus dijangka menjadi antara festival automotif tempatan terbesar di negara ini tahun ini. – UTUSAN










