KLUANG: Kegembiraan seorang seorang pesara tentera untuk melihat anaknya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpanjangan apabila Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, terkorban ketika latihan, semalam.
Kakak Allahyarham, Siti Zaiha, 39, berkata, hasrat itu tercapai apabila Siti Khadijah yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik diterima menyertai perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), tahun lalu.
Katanya, arwah menyertai TDM selepas tamat pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan) dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, Batu Pahat.
“Abah, Sungip Jais, 65, merupakan bekas tentera darat. Dia pernah kata kepada arwah jika ada peluang cuba jadikan bidang ketenteraan sebagai kerjaya, jadi arwah cuba dan akhirnya diterima masuk TDM.
“Arwah seorang wanita yang kuat, dia pernah dianugerahkan Prajurit Muda Wanita Akademik Terbaik siri ke-50. Dia kemudian diserap masuk ke Rejimen Askar Jurutera Darat (RAJD),” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Sri Lambak, di sini, hari ini.
Tambah Siti Zaiha, sekeping gambar yang dikongsikan Allahyarham kepada keluarganya tengah malam tadi akan menjadi kenangan terakhir yang paling buat mereka.
“Arwah sempat beritahu akan mengikuti latihan berkaitan bom tangan selepas beberapa hari menjalani latihan lain bersama rakan-rakan setugas. Dia seperti biasa berhubung dengan kami melalui kumpulan WhatsApp keluarga.
“Malam sebelum kejadian, dia ada kongsikan gambar ketika berada dalam latihan yang dibuat termasuklah latihan menembak dan juga membaling bom tangan. Adik beritahu yang dia berada dalam kumpulan terakhir bagi latihan membaling bom tangan. Kami pesan hati-hati dan dengar arahan jurulatih dengan teliti dan fokus,” katanya.
Tambah Siti Zaiha, mereka sekeluarga bagaimanapun menerima perkhabaran mengejutkan bahawa adik bongsunya itu terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan tersebut.
“Berita itu disampaikan menerusi panggilan telefon oleh seorang pegawai tentera yang bertugas. Memandangkan maklumat itu tidak jelas, saya minta ayah berikan nombor telefon pegawai itu.
“Kemudian pegawai itu maklumkan bahawa adik saya sudah tiada kira-kira pukul 12 tengah hari ketika latihan membaling bom,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Pahang.
Menurut Siti Zaiha lagi, kali terakhir Allahyarham pulang ke rumah keluarga adalah seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha lalu selama dua minggu.-UTUSAN










