MINGGU lalu menyaksikan artis popular Indonesia berhadapan dengan pelbagai kecaman sehingga ada yang mahu mereka digam daripada mana-mana acara. Semuanya berpunca daripada bagaimana mereka memberi respons terhadap situasi semasa yang terjadi di Indonesia.
Berikut kami senaraikan antara selebriti yang berhadapan dengan cemuhan dan kritikan orang ramai kerana kandungan yang dihasilkan termasuklah cara mereka mengendalikan masalah yang timbul membabitkan jenama mereka sebagai selebriti.

Juicy Luicy
Kumpulan muzik pop popular ini membatalkan persembahan mereka secara mengejut di festival muzik XYZ Liveground di Batam. Menurut band itu, semuanya berpunca apabila pihak penganjur enggan membayar kos beg tambahan. Ramai peminat yang sudah membeli tiket marah, dan mengkritik cara band itu memberikan penjelasan.
Pihak Juicy Luicy akhirnya menjelaskan bahawa isu sebenar bukan sekadar bagasi, tetapi terdapat kelewatan pelunasan bayaran kontrak dan pengangkutan daripada pihak penganjur sehingga mencetuskan masalah logistik tersebut.

Maudy Ayunda
Kritikan membabitkan penyanyi dan pelakon Maudy Ayunda tercetus selepas dia memuat memuat naik video YouTube bertajuk “Mindfulness in the Age of Bad News”. Dalam video itu, Maudy membincangkan cara menjaga kesihatan mental dan mengehadkan diri daripada memproses lambakan berita buruk yang terjadi di negara itu membabitkan isu ekonomi, dasar kerajaan dan bencana alam.
Kandungan itu dibincangkan masyarakat yang menganggap Maudy tidak peka terhadap situasi semasa dan hidup dengan keistimewaan yang hanya dinikmati orang kaya. Bagaimanapun, Maudy yang juga graduan universiti Stanford telah memohon maaf kerana terlepas akan sudut pandang tersebut.

Erina Gudono & Kaesang Pangarep
Dikiritik kerana menayangkan gaya hidup mewah di Amerika Syarikat, bermula daripada menyewa jet peribadi, membeli roti berharga RM110 (Rp400 ribu), sehinggalah membeli kereta sorong bayi (stroller) yang sangat mahal.
Netizen menjadi lebih marah apabila video lama mereka tular, menunjukkan mereka turun dari jet peribadi dan terus memasukkan barang-barang jenama mewah ke dalam kereta tanpa melalui pemeriksaan kastam (Bea Cukai) sehingga mempertikai mengapa keistimewaan ini diperoleh Kaesang Pangarep yang merupakan anak bongsu Jokowi.

Rachel Vennya
Pempengaruh ini berkali-kali mencetuskan kontroversi terutamanya ketika dia melarikan diri daripada kuarantin Covid-19. Pempengaruh itu didakwa telah membayar rasuah di Wisma Atlet sebanyak Rp40 juta (sekitar RM11,000). Terdapat juga isu lain membabitkan drama isu curang, pergaduhan dengan bekas suami serta caranya membalas kritikan netizen.

Baim Wong
Dikecam kerana didakwa mengeksploitasi kemiskinan orang susah demi mengaut keuntungan iklan. Namanya pernah terjejas teruk selepas mendaftarkan hak cipta jenama ‘Citayam Fashion Week’ atas nama syarikat peribadinya, yang dianggap netizen sebagai cubaan merampas hak komuniti margin. Selain itu, isu keretakan rumah tangganya juga menjadi perhatian.











