Lelaki hilang kawalan kenderaan selepas tertekan pedal minyak 

Lelaki hilang kawalan kenderaan selepas tertekan pedal minyak 

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan selepas dia dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan sebelum merempuh sebuah kenderaan lain dan pagar di Jalan Tun Razak dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada kedua-dua pemandu yang terlibat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Almera yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dan sebuah Honda Civic dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu Toyota Almera sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Sultan Yahya Petra.

“Ketika memasuki simpang ke Jalan Sultan Yahya Petra,lelaki itu dipercayai telah menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebuah Honda Civic serta pagar di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ ke atas pemandu Toyota Almera mendapati bacaan 000mg/100ml dan didapati negatif.

“Selain itu, saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu terbabit juga menunjukkan keputusan negatif,”jelasnya.

Mohd Zamzuri berkata, polis telah menjalankan siasatan lokasi kejadian selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta merakam percakapan kedua-dua pemandu yang terlibat.

Katanya, kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,”jelasnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 55 saat berkaitan kejadian yang dimuat naik menerusi aplikasi Threads. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN