Budaya membaca perlu dipupuk sejak awal usia – Fadhlina

Budaya membaca perlu dipupuk sejak awal usia – Fadhlina

FADHLINA Sidek semasa ditemui pengamal media selepas Program Pertemuan Kelab Perempuan Membaca di MyTown Shopping Centre, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha membudayakan amalan membaca di negara ini perlu dipupuk bermula dari peringkat awal usia bagi melahirkan masyarakat berilmu serta usaha berterusan dalam mencerdaskan bangsa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu memerlukan komitmen menyeluruh pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan pendidik dalam menyemai minat terhadap bahan bacaan dalam kalangan generasi muda.

Katanya, inisiatif seperti Kelab Perempuan Membaca dapat menyediakan platform yang amat baik untuk semua lapisan masyarakat berkongsi bahan bacaan tanpa mengira peringkat usia. 

“Kita harus mula daripada peringkat awal, sebab itu saya sangat berterima kasih kepada guru-guru yang membawa anak murid mereka, begitu juga dengan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke program ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pertemuan Kelab Perempuan Membaca di MyTown Shopping Centre, di sini hari ini.

Fadhlina berharap Kelab Perempuan Membaca akan terus menjadi medan perkongsian yang sangat penting kepada semua masyarakat.

“Perkongsian seperti ini saya lihat sangat penting kerana ia bersifat santai sahaja. Jadi, pemimpin, menteri dan orang ramai boleh turun untuk kongsi bahan bacaan mereka.

“Daripada anak-anak sekolah sampai lah nenek-nenek pun ada hadir pada hari ini. Jadi ini satu perkembangan yang baik yang saya harap kita dapat teruskan dan jadi sebahagian daripada budaya kita khususnya untuk meningkatkan pembacaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menyeru agar lebih ramai anak muda memanfaatkan ruang dan peluang yang disediakan oleh kelab terbuka itu bagi menyemarakkan lagi budaya membaca di Malaysia. 

Beliau juga berharap inisiatif tersebut dapat diperluaskan dari negeri ke negeri agar semangat kecintaan terhadap buku dan ilmu pengetahuan terus subur dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh.

“Saya berharap sebagai salah satu kelab membaca yang terbesar di Malaysia, kelab ini akan terus berkembang.

“InsyaAllah perancangan kita adalah untuk pergi dari negeri ke negeri selepas ini. Jadi saya harap dengan adanya kelab seperti ini, kita ada platform yang sangat baik untuk semua berkongsi bacaan dan kita tak kira peringkat umur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×