PETALING JAYA: Tindakan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Norashikin membetulkan lengan jubah graduan yang terlipat ketika istiadat konvokesyen baru-baru ini, mencuri tumpuan warganet.
Rakaman video yang dikongsi menerusi akaun TikTok rasmi UiTM itu menunjukkan Tengku Permaisuri Selangor mengambil masa beberapa saat untuk membuka lipatan jubah graduan tersebut ketika sesi penyampaian skrol.
Graduan yang dikenali sebagai Aiman itu kelihatan malu semasa baginda berbuat demikian.. Lantaran itu, dia berhasrat menyimpan jubah tersebut sebagai kenangan.
“Saya takkan pulangkan jubah ini, nak simpan buat kenangan,” katanya.
Hantaran video berdurasi 13 saat itu menerima pelbagai komen lucu daripada pengguna media sosial.
“Giliran saya nanti saya akan singsing lengan baju sampai ke bahu,” komen @ateeed.
“Letak tanda kat jubah tu nanti senang kami nak pilih,” tulis @tekanama1.
“Kena sambung Master ni nak ambil jubah tu,” tambah @najihahrzkk.
Video berkenaan tular dalam media sosial dan menerima hampir dua juta tontonan, 1,451 komen dan 53,500 tanda suka. – UTUSAN










