Lantang mempertahankan rakan artis yang menjadi sasaran kecaman di media sosial, penyanyi, Aisha Retno mengakui dirinya tidak akan berkompromi apabila melihat teman seperjuangannya menjadi mangsa buli siber dalam kalangan netizen.
Menurut Aisha, dia memahami cabaran dan tekanan yang perlu dihadapi seseorang anak seni, malah tidak sanggup melihat rakan seperjuangannya menjadi mangsa kecaman apatah lagi sekiranya perkara itu melampaui batas.
“Dalam industri ini, kita juga manusia biasa. Bila kita nampak sesuatu yang salah atau sesuatu yang menggores hati seseorang, lebih-lebih lagi rakan seperjuangan yang kita tahu sudah berusaha keras untuk berada di tahap sekarang, sudah tentu kita rasa terpanggil untuk membantu.
“Sebagai rakan dalam industri, kita perlu saling menyokong. Rakan-rakan yang saya pertahankan itu juga banyak memberi sokongan dan bimbingan kepada saya. Jadi kenapa tidak kita sama-sama membantu dan menyokong antara satu sama lain?” katanya.
Tambah Aisha, dia percaya dunia hiburan akan menjadi lebih sihat sekiranya semua pihak mengamalkan budaya saling menyokong meskipun ada pihak beranggapan tindakannya itu boleh mengundang pelbagai reaksi negatif.
“Memang ada beberapa individu yang kata saya terlalu telus atau terlalu berani bersuara. Tetapi bagi saya, kenapa tidak kita cuba menjadikan industri ini lebih positif?
“Bila kita saling menyokong, orang luar akan nampak bahawa kehidupan selebriti sebenarnya bukanlah toksik bagai disangka. Sebaliknya, kita juga ada budaya saling membantu dan memberi sokongan antara satu sama lain,” ujarnya.
Mengakui pengalaman lalu mematangkan caranya bertindak, penyanyi lagu Samudera itu bagaimanapun menegaskan dirinya tidak mengharapkan sebarang balasan sekiranya berdepan dalam situasi yang sama.
“Lali atau tidak, kita tetap manusia biasa. Kadang-kadang bila nampak sesuatu yang menggores hati, kita tetap akan terasa. Walaupun saya tidaklah terlalu lama dalam industri ini, perkara seperti itu pernah saya lalui.
“Jadi apabila berlaku kepada rakan seperjuangan yang lain, sudah tentu kita cuba bantu apa yang termampu. Saya percaya di mana ada ketelusan, di situ ada jalan. Di mana ada kecaman, insya-Allah di situ ada bantuan.
“Kalau ada orang membantu saya suatu hari nanti, Alhamdulillah. Kalau tidak ada pun, Alhamdulillah juga. Saya tidak membantu orang kerana mengharapkan balasan.
“Dalam hidup ini, kita tidak tahu siapa yang akan membantu kita pada masa akan datang. Jadi saya menghargai setiap individu yang pernah memberi sesuatu kepada saya sepanjang berada dalam industri ini,” katanya lagi.

Kembali pertaruhkan lagu balada.
Terkenal dalam menghasilkan lagu rancak yang mempunyai elemen EDM dan etnik pop, Aisha kini muncul dengan sebuah lagu balada berjudul Diari Air Mata hasil sentuhan komposer terkenal, Ajai.
Sebagai komposer, Aisha mengakui dirinya sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan penulis lagu prolifik itu, selain mengagumi setiap karya ciptaannya.
“Apabila saya menerima lagu tersebut, secara profesional sebagai seorang penulis lagu, saya memang betul-betul sukakan lagu itu. Saya seorang yang sangat tegas dalam soal muzik. Kalau saya tidak suka, saya akan cakap tidak suka.
“Tetapi Alhamdulillah, saya memang sukakan lagu itu. Malah, Ajai sendiri memberi ruang sekiranya saya mahu mengubah apa-apa bahagian, tetapi bagi saya lagu itu sudah cukup sempurna,” jelasnya.
Menurut Aisha, lagu yang sarat dengan emosi itu juga sacara tidak langsung memenuhi impian peminatnya yang rindu untu mendengarnya menyanyikan lagu bergenre balada.
“Rasanya sudah satu atau dua tahun saya tidak mengeluarkan lagu balada. Kebanyakan lagu yang saya hasilkan kebelakangan ini lebih kepada lagu yang rancak. Diari Air Mata merupakan lagu balada saya yang kedua selepas single Pencarianku
“Untuk tahun ini, saya rasa ini satu-satunya lagu balada yang saya benar-benar mahu beri perhatian. Saya sangat gembira kerana penerimaannya sangat baik.
“Ada juga yang tidak tahu saya boleh menyanyikan lagu balada. Jadi lagu ini bukanlah satu pembuktian, tetapi lebih kepada hadiah untuk mereka yang sentiasa meminta saya mengeluarkan lagu balada,” katanya.
Difahamkan, Aisha merupakan pilihan pertama pihak Usanita Entertainment untuk menyampaikan lagu ya










