KUALA LUMPUR: Aaron Tai yakin berganding bersama pemain senior Aaron Chia mampu mencetuskan fenomena baharu dalam kombinasi permainan mereka selepas ini.
Aaron Tai yang dipilih untuk berpasangan dengan Aaron Chia memiliki corak permainan yang berbeza berdasarkan peranan kedua-duanya semasa beraksi dalam gelanggang.
Dia yang dipilih dalam rombakan besar skuad badminton negara sebelum ini percaya kombinasi tersebut efektif kerana kedua-duanya memiliki peranan berbeza dalam corak permainan.
“Dia lebih kepada pemain belakang gelanggang, saya pula di depan. Tapi memang perlukan masa untuk dapatkan kombinasi yang baik,” katanya yang tidak menyangka jurulatih beregu, Herry Iman Pierngadi memilihnya untuk digandingkan dengan pemain senior itu.
Menurut Aaron Tai, dia diberitahu kombinasi pecah ganding itu dibuat selepas mengambil kira prestasi semasa dan kutipan mata rankingnya dan Aaron Chia.
“Pada awalnya jurulatih bercadang menggandingkan Aaron (Chia) dengan Tee Kai Wun tetapi disebabkan kutipan mata ranking tidak cukup, mereka tidak layak beraksi pada Terbuka Jepun yang berstatus Super 750.
“Saya memang tak jangka kerana semua ini diatur oleh jurulatih. Mungkin sebab mata ranking tak cukup untuk masuk Terbuka Jepun kerana Aaron-Kai Wun pernah bermain di Piala Thomas,” katanya yang mengakui agak gentar berpasangan dengan seniornya itu.
Setakat ini, dia memberitahu belum memulakan latihan bersama seniornya itu memandangkan masih mempunyai satu lagi kejohanan bersama pasangan asalnya, Khai Xing. – UTUSAN









