Pegawai awam perlu berfikiran futuristik

Pegawai awam perlu berfikiran futuristik

BUDAYA kerja reaktif dalam kalangan penjawat awam perlu ditinggalkan dan digantikan dengan pemikiran futuristik yang mengutamakan pencegahan serta tindakan awal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era perubahan yang semakin pantas, negara memerlukan pegawai awam dan pemimpin organisasi yang mampu berfikir ke hadapan, menjangka masalah serta bertindak lebih awal sebelum sesuatu isu menjadi krisis. 

Namun, realitinya masih terdapat pegawai yang hanya bertindak selepas sesuatu musibah berlaku. Mereka menunggu arahan, aduan, tekanan awam atau tragedi sebelum mengambil tindakan. Sikap reaktif ini bukan sahaja melemahkan kecekapan pentadbiran, malah memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara.

Pegawai yang tidak futuristik lazimnya gagal membaca perubahan semasa dan tidak mengamalkan budaya pencegahan. Mereka melihat masalah secara permukaan tanpa analisis jangka panjang, menyebabkan isu kecil menjadi besar kerana tiada tindakan awal diambil. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam dunia yang dipenuhi data dan maklumat pantas, alasan “tidak tahu” atau “tidak sempat” tidak lagi boleh diterima. Rakyat kini menilai kecekapan pentadbiran berdasarkan kemampuan mengurus risiko sebelum krisis berlaku.

Keadaan ini jelas dapat dilihat dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, keselamatan jalan raya, ekonomi dan penguatkuasaan. 

Dalam pendidikan misalnya, tindakan sering diambil hanya selepas berlaku kemalangan seperti siling runtuh, renjatan elektrik atau kejadian murid tercedera.

Walhal tanda awal kerosakan telah lama wujud, tetapi tidak ditangani secara serius. Pendekatan ini menunjukkan kelemahan budaya kerja yang tidak berpandangan jauh.

Pegawai yang futuristik seharusnya melaksanakan audit keselamatan berkala, pemantauan berterusan serta tindakan pencegahan awal. Tragedi sering boleh dielakkan jika sistem amaran awal berfungsi dengan baik. 

Namun, yang sering berlaku ialah tindakan hanya diambil selepas kejadian, diikuti siasatan dan kenyataan media, sedangkan kerosakan telah pun berlaku.

Dalam isu jalan raya, pola yang sama turut berulang. Banyak lokasi kemalangan maut berlaku di tempat yang sama sebelum tindakan diambil. Selepas tekanan awam atau liputan media, barulah pembaikan dilaksanakan. 

Penduduk setempat sebenarnya telah lama membuat aduan tetapi tindakan hanya berlaku apabila isu menjadi tular. Ini menunjukkan budaya kerja yang lebih responsif kepada tekanan berbanding tanggungjawab.

Dalam isu integriti pula, banyak kes rasuah hanya dikesan selepas didedahkan pihak luar. Tanda awal seperti gaya hidup mewah atau transaksi meragukan sering diabaikan. Kelemahan ini berpunca daripada budaya organisasi yang kurang sensitif terhadap tanda amaran awal serta terlalu menjaga imej sehingga gagal bertindak lebih awal.

Dari sudut ekonomi, kelewatan tindakan terhadap kenaikan harga barang juga mencerminkan pendekatan reaktif. 

Apabila harga meningkat dan rakyat tertekan, barulah langkah kawalan diumumkan. Sedangkan data awal mengenai gangguan bekalan dan tekanan pasaran telah tersedia lebih awal untuk tindakan pencegahan.

Budaya kerja reaktif ini berpunca daripada sikap terlalu bergantung kepada prosedur lama, takut membuat keputusan, serta kurang budaya inovasi. Ada pegawai yang lebih selesa menunggu arahan berbanding mencari penyelesaian. Birokrasi yang panjang turut melambatkan tindakan walaupun masalah telah dikenal pasti.

Hakikatnya, negara memerlukan pegawai yang berani berfikir strategik, menggunakan data, mengamalkan sistem ramalan risiko dan bertindak sebelum masalah menjadi krisis. Kejayaan pentadbiran bukan diukur pada banyaknya tindakan selepas tragedi, tetapi pada sedikitnya tragedi yang berlaku hasil pencegahan awal.

Oleh itu, sudah tiba masanya budaya kerja reaktif ditinggalkan. Negara memerlukan pegawai yang futuristik, cekap dan berani bertindak awal demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. –UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN 

Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini