KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (CEO 1MDB), Arul Kanda Kandasamy memfailkan tuntutan balas terhadap syarikat terbabit bagi menuntut RM56,702,600 juta selepas Perjanjian Pelanjutan Kerja beliau dibatalkan secara salah.
Tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 November lalu melalui firma guaman, Tetuan Sanjay Mohan.
Menurut tuntutan tersebut, Arul Kanda menyatakan bahawa kontrak pekerjaannya telah tamat pada 31 Disember 2017 namun selepas perbincangan dibuat, Lembaga Pengarah 1MDB telah bersetuju untuk melanjutkan kontraknya dan perjanjian baharu telah ditandatangani pada 23 Februari 2018.
Berdasarkan Perjanjian Perlanjutan Pekerjaan itu, 1MDB antara lainnya bersetuju untuk melanjutkan kontraknya sehingga 30 Jun 2018 dan Arul Kanda akan dibayar bonus ex-gratia sebanyak RM5 juta yang mana RM2.5 juta masih belum dibayar sehingga kini.
1MDB juga bersetuju untuk membayar gaji sebanyak RM101,300 sebulan sehingga kontrak kerja baharunya tamat yang mana gajinya bagi bulan Januari hingga April 2018 berjumlah RM405,200 telah dibayar.
Bonus ex-gratia itu diberikan kepada Arul Kanda atas pencapaiannya antaranya mengurangkan hutang plaintif sebanyak lebih kurang RM20 bilion, memulakan semula dan menyiapkan pembinaan lapan pangkalan tentera udara di Malaysia yang terhenti serta penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia pada harga RM7.41 bilion.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Arul Kanda mendakwa, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng mengeluarkan beberapa kenyataan yang antara lainnya menyatakan bahawa bekas CEO itu tidak jujur dan tidak boleh dipercayai dan kenyataan tersebut telah disiarkan dalam portal berita The Edge bertarikh 24 Mei 2018.
Arul Kanda mendakwa, rentetan daripada kenyataan tersebut, 1MDB telah menamatkan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan beliau tanpa sebarang asas dan secara salah serta tiada sebarang siasatan dijalankan terhadapnya bagi menunjukkan lelaki itu telah bertindak bertentangan dengan kepentingan syarikat terbabit.
Arul Kanda mendakwa beliau tidak pernah diberikan sebarang notis atau peluang untuk membela dirinya sebelum ditamatkan kontrak dan turut mendalwa penamatan perjanjian tersebut telah dilakukan atas arahan Guan Eng dan secara niat jahat (mala fide).
Bekas CEO 1MDB itu juga mendakwa penamatan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaannya dibuat oleh 1MDB bagi mengelak daripada perlu membayar gaji bulan Mei dan Jun 2018 dan baki bonus ex-gratia sebanyak RM2.5 juta.
Tidak cukup dengan ditamatkan kontrak, Arul Kanda menyatakan bahawa 1MDB telah menbuat beberapa tuduhan terhadapnya sedangkan beliau tidak terlibat dengan mana-mana transaksi yang berlaku sebelum dilantik memegang jawatan dalam syarikat terbabit.
Tindakan 1MDB menggunakan proses undang-undang melalui tuntutan sivil dan jenayah telah merosakkan reputasi Arul Kanda, menyebabkan lelaki itu tidak dapat mencari pekerjaan alternatif dan didakwa di mahkamah.
Tindakan 1MDB itu juga telah mengakibatkan Arul Kanda kehilangan pendapatan selepas cukai kira-kira RM3 juta setahun.
Sehubungan itu, memohon dibayar RM202,600 (gaji bagi bulan Mei dan Jun 2018) dan bonus RM2.5 juta; sebagaimana dinyatakan dalam Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.
Beliau turut memohon ganti rugi khas sebanyak RM54 juta (kehilangan pendapatan daripada Jun 2019 hingga usia persaraan pada 2036 atau jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teladan dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.
Pada Mei 2021, Arul Kanda dan bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar disaman berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran berkenaan dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.-UTUSAN











