Sultan Selangor isytihar 108,000 hektar Hutan Warisan Diraja - Utusan Malaysia

Sultan Selangor isytihar 108,000 hektar Hutan Warisan Diraja

Hutan simpan
SULTAN Sharafuddin Idris Shah menunjukkan buku Pelan Induk Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor sambil disaksikan Amirudin Shari pada Majlis Perisytiharan HWDS serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) terhadap 108,000 hektar kawasan melibatkan 26 hutan simpan kekal (HSK) di sepanjang jajaran Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Langat hingga Hulu Selangor.

Perisytiharan tersebut dibuat bagi menjadikan kesemua kawasan HSK di bawah Hutan Taman Negeri itu yang terlibat dijadikan hutan yang mencakupi aspek-aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perisytiharan tersebut juga bertujuan melindungi khazanah hutan negeri supaya dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan air, habitat flora dan fauna serta kepentingan terhadap menangani isu perubahan iklim.

“Perisytiharan HWDS tercetus apabila Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengadakan kunjungan menghadap ke Sultan Selangor bagi mempersembahkan taklimat mengenai penyediaan Pelan Induk Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor pada tanggal 16 Mac lalu.

“Sultan Selangor berkenan menitahkan supaya diadakan satu majlis perisytiharan HWDS dan mengadakan Ekspedisi Saintifik di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor bagi mengenalpasti taburan spesies biodiversiti flora dan fauna yang boleh didapati di kawasan hutan tersebut,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perisytiharan HWDS serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, hari ini.

Terdahulu Sultan Sharafuddin dilaporkan bertitah supaya kawasan hutan simpan kekal di Selangor yang berkeluasan 108,000 hektar, terus dipelihara.

Baginda mencadangkan kerajaan negeri melanjutkan tempoh dasar pembalakan pemantauan, yang kini ditetapkan selama 25 tahun, untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal sejak 2009.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan susulan perisytiharan HWDS, HSK di negeri ini meningkat daripada kepada 31.7 peratus berbanding 30.55 pada 2008.

“Sehingga kini, keseluruhan kawasan hutan simpanan kekal di Selangor adalah seluas 250,739.33 hektar iaitu 31.7 peratus daripada keluasan tanah negeri.

“Kerajaan negeri kini giat memperkasakan usaha-usaha pemeliharaan dan kelestarian hutan dan alam sekitar  selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS1),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya