PETALING JAYA: Tampil bersuara, adik kepada penyanyi, Shila Amzah memberi amaran kepada bekas isterinya, Nurul Anis Waheeda untuk berhenti menyebarkan tohmahan mengaibkan dirinya di media sosial.
Jelas Amir Syafiq Amzah, tidak semua tuduhan yang dilemparkan itu adalah benar dan meminta warganet untuk tidak mempercayai tohmahan tersebut 100 peratus.
“Kepada bekas isteri yang asyik menyebarkan aib, saya tidak pernah menjawab sebarang perkara yang dia buruk dan fitnah saya selama ini.
“Satu sahaja pesanan saya, sudah-sudahlah! 2016 sehingga sekarang, tidak berhenti-henti keluarkan pelbagai kenyataan yang tak semuanya betul,” katanya.
Amir Syafiq berkata demikian ketika bersiaran langsung di TikToknya semalam.
Amir sebelum ini menerima pelbagai kecaman selepas dikatakan ‘menumpang’ kesenangan kakaknya dan mengabaikan tanggungjawab sebagai suami sehingga bercerai.
Dalam pada itu, lelaki berusia 30 tahun itu juga berpesan kepada warganet untuk tidak mencampuri hal peribadinya dan membiarkan dia menyelesaikan masalah sesuai masanya.
“Terpulang kepada saya jika hendak memperbaiki keadaan atau menyelesaikan masalah berkaitan diri sendiri. Itu hak saya,” jelasnya.
Untuk info, Amir dan Anis mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2014 namun bercerai pada 15 Jun 2016.