Struktur cukai jalan kenderaan EV diumum sebelum akhir tahun

Struktur cukai jalan kenderaan EV diumum sebelum akhir tahun

ANTHONY Loke melawat ruang pameran selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di Movenpick, Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan akan mengumumkan struktur cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV) yang lebih kompetitif sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurutnya, struktur cukai jalan tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas tahun 2025, apabila berakhirnya tempoh insentif pengecualian cukai kenderaan EV seperti diumumkan tahun lalu.

“Kita sudah bentangkan kepada Pasukan Petugas Khas EV untuk pastikan supaya struktur cukai jalan bagi kenderaan EV ini lebih kompetitif dan tidak membebankan pengguna dalam usaha menggalakkan penerimaan orang ramai terhadap pembelian kenderaan itu.

“Sebelum akhir tahun ini kita akan umumkan, (namun) ia hanya akan terpakai selepas tempoh pengecualian cukai jalan untuk kenderaan EV itu tamat pada tahun 2025,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai keresahan pengguna kenderaan EV yang khuatir sekiranya mereka bakal dikenakan cukai jalan yang tinggi.

“Seperti yang saya telah jawab beberapa bulan lalu, kita akan kaji semula dan telah pun bentangkan kepada EV taskforce (mengenai) cukai jalan yang lebih murah daripada sebelum ini,” ujarnya.

Ditanya sama ada pemilik kenderaan EV akan diberikan pelanjutan pengecualian cukai jalan, Anthony Loke memaklumkan perkara itu terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk memutuskannya.

Pada 1 Julai lalu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan sedang mengkaji semula kadar bayaran cukai jalan yang akan dikenakan bagi kenderaan EV supaya ia lebih rendah berbanding kenderaan biasa.

Loke berkata, keputusan itu dibuat supaya cukai jalan kenderaan berkenaan menjadi lebih murah berbanding kenderaan Internal Combustion Engine (ICE) bagi menggalakkan lebih ramai pengguna memiliki kenderaan elektrik.

Pada 14 Februari 2022, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pemberian insentif pengecualian fi lesen kenderaan motor (LKM) sepenuhnya untuk kenderaan EV dan kenderaan untuk orang kurang upaya bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

Terdahulu, pada simposium itu, Loke menyampaikan pensijilan IRIS: ISO/TS 22163:2017 (International Railway Industry Standard) kepada empat syarikat tempatan yang pertama di Malaysia.

Pensijilan itu menandakan pencapaian luar biasa dalam menaikkan standard kualiti, keselamatan dan kecekapan dalam pengangkutan kereta api di negara ini.

IRIS merupakan piawaian antarabangsa yang diiktiraf dalam industri kereta api antarabangsa yang menjadi garis panduan dan standard terbaik bagi pengeluaran, penyelenggaraan dan pembangunan peralatan sistem kereta api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya