Tukar hak milik : Lapan pusat pemeriksaan baharu selain PUSPAKOM

Tukar hak milik : Lapan pusat pemeriksaan baharu selain PUSPAKOM

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook diiringi oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli melawat ke ruang pemeriksaan kenderaan ketika sesi pelancaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) di TTDI Grove Square 2, Kajang di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG : Pemilik kenderaan persendirian yang ingin melakukan pemeriksaan sebelum proses tukar hak milik boleh melakukannya di lapan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) yang mula beroperasi pada 16 Jun depan.

Alternatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini memberi peluang kepada pengguna untuk membuat pilihan selain ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, PPKM baharu dikendalikan Carro Technology Sdn Bhd mempunyai lapan premis yang terletak di Glenmarie, Kajang dan Klang, Selangor; Wangsa Melawati, Kuala Lumpur; Bayan Lepas, Pulau Pinang, Melaka; serta Muar dan Johor Bahru, Johor.

Katanya, operasi pusat pemeriksaan berkenaan tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan lengkap serta integrasi sistem operasi dengan MySIKAP.

“Pemeriksa kenderaan bermotor juga perlu menjalani program pentauliahan yang ditetapkan JPJ sebelum dibenarkan beroperasi.

“Carro juga perlu menyediakan lorong pemeriksaan khas serta kakitangan berasingan bagi tujuan pemeriksaan tukar hak milik selaras dengan standard ISO 17020:2012,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) di sini hari ini.

Anthony berkata, kerajaan juga menggalakkan lebih banyak syarikat memohon lesen pusat pemeriksaan berkenaan bagi memperluas perkhidmatan itu ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, antara syarikat yang sedang membangunkan cawangan pusat pemeriksaan ialah Carsome Academy, Car Medic dan Beriman Go di Sarawak.

“Kita mahu lebih banyak kawasan mempunyai pusat pemeriksaan seperti ini supaya orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan dan akses lebih mudah.

“Kita juga mengalu-alukan syarikat tempatan di Sabah dan Sarawak untuk memohon lesen serta membuka pusat pemeriksaan di negeri masing-masing,” katanya.

Loke berkata, pembukaan pusat pemeriksaan baharu itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti selain membantu mengurangkan kesesakan sedia ada.

Katanya, pusat pemeriksaan mini itu hanya melaksanakan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian dan tidak membabitkan pemeriksaan kenderaan perdagangan seperti lori, bas dan teksi.

“Pengguna kini tidak lagi perlu bergantung kepada pusat pemeriksaan besar kerana konsep baharu itu membolehkan pusat pemeriksaan dibuka di kawasan komuniti serta pusat perniagaan.

“Pengguna hanya perlu membuat tempahan secara dalam talian sebelum datang ke pusat pemeriksaan seperti ini dan proses pemeriksaan boleh disiapkan dalam tempoh singkat,” katanya.

Katanya, caj pemeriksaan bagi tukar hak milik kenderaan persendirian ditetapkan pada harga RM37.80 termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sama seperti yang dikenakan oleh PUSPAKOM kerana kadar itu dikawal oleh JPJ.

“MOT dan JPJ juga akan menjalankan audit mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengendali mematuhi piawaian serta prosedur yang ditetapkan.

“Kalau mereka tidak ikut piawaian, lesen boleh ditarik balik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN