Johor bubar DUN, Negeri Sembilan juga bubar – Anthony

Johor bubar DUN, Negeri Sembilan juga bubar – Anthony

ANTHONY Loke Siew Fook berucap di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam. Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Jika Johor bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Negeri Sembilan juga kita akan bubarkan esok. Memandangkan Johor mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN, Negeri Sembilan juga kita lawan semua 36 kerusi,”

Itu penegasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini semalam.

Kelmarin, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor.

Menurut Siew Fook, rakyat Johor perlu sedar bahawa kejayaan dan pembangunan yang dinikmati Johor ketika ini adalah hasil kerjasama dan usaha kerajaan Perpaduan khususnya di peringkat Pusat.

“Johor memang pesat membangun dalam tempoh tiga, empat tahun kebelakangan ini, tetapi faktanya ia melibatkan projek-projek pusat khususnya pengangkutan seperti perkhid­matan Rapid Transit System Link (RTS Link).

“Memang ia dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi sejak kita ambil alih pada 2022, banyak isu belum selesai dan hampir terbengkalai, tetapi komitmen kerajaan Pusat dan menteri-menteri Pakatan Harapan menyaksikan projek itu hampir siap,” katanya di hadapan lebih 8,000 ahli-ahli parti komponen PH yang hadir.

Tambah beliau, projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) sebagai usaha penyuraian trafik di kawasan pusat bandar raya ini juga telah mendapat kelulusan Kabinet dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

“Ada pihak kata Kerajaan Pusat lambat, tetapi ini merupakan projek besar jadi perlu ambil sedikit masa. Ia projek bernilai RM10 bilion bukannya RM10,000. Sementara tunggu siap kita ada sediakan bas henti-henti.

“Selain RTS Link, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari utara ke selatan yang sebelum ini terbengkalai sejak kira-kira 10 tahun lalu juga berjaya di­selesaikan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN