PETALING JAYA: Kebimbangan konflik yang berterusan di Asia Barat dan kenaikan harga minyak dijangka melonjakan jualan kenderaan elektrik (EV) dengan unjuran pasaran meningkat sekali ganda kepada lapan peratus, tahun ini.
Peralihan drastik itu didorong kebimbangan pengguna terhadap kenaikan harga petrol dan kebimbangan negara mungkin tidak lagi mampu menanggung beban kos subsidi bahan api pada masa hadapan.
Pakar Automotif, Hezeri Samsuri berkata, kemunculan pelbagai model EV daripada pelbagai jenama dengan harga yang kompetitif memudahkan pengguna untuk membuat peralihan.
“Pengguna kini melihat kestabilan dari segi kos penggunaan EV, memandangkan tarif elektrik tidak tertakluk kepada ketidaktentuan pasaran minyak global.
“Walaupun permintaan dijangka meningkat mendadak, tinjauan pasaran mendapati bekalan EV terutamanya yang diimport dari China mahupun jenama tempatan seperti Proton adalah mencukupi dan tidak menghadapi masalah stok,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hezeri berkata, kelancaran jualan kenderaan EV tertakluk kepada jumlah kelulusan Permit Import (AP) oleh pihak kerajaan.
Katanya pengedar perlu memohon kuota AP pada awal setiap tahun dan sekiranya berlaku lonjakan permintaan di luar jangkaan, permohonan untuk penambahan kuota memerlukan justifikasi yang kukuh dan mengambil masa untuk diluluskan serta berpotensi merencatkan momentum jualan.
“Isu kekurangan infrastruktur terutamanya stesen pengecasan awam kekal menjadi kebimbangan yang membantutkan niat pembeli,” katanya.
Hezeri berkata, majoriti pembeli baharu dijangka lebih memfokuskan penggunaan EV untuk pemanduan di kawasan bandar sahaja bagi mengatasi masalah tersebut.
“Pihak industri turut menegaskan bahawa campur tangan dan bantuan berterusan daripada kerajaan amat diperlukan bagi merancakkan lagi pembinaan infrastruktur stesen pengecasan di seluruh negara.
“Kenaikan harga bahan api itu sendiri sudah cukup kuat untuk mendorong rakyat beralih kepada EV, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada insentif tambahan.
“Kegagalan penyampaian maklumat yang jelas mengenai rasionalisasi subsidi bahan api sebelum itu akhirnya menyedarkan rakyat untuk mencari alternatif pengangkutan yang lebih lestari dan menjimatkan untuk jangka masa panjang,” katanya.










